Sabtu, 25 Januari 2020 | 12:26pm

LHDN bangun Pelan Transformasi Hasil kesan aktiviti elak cukai

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang membangunkan Pelan Transformasi Hasil dengan keupayaan data besar, analitik dan kepintaran buatan yang dijangka mampu mengesan aktiviti ekonomi bayangan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

“Ia selaras dengan pertumbuhan pesat teknologi dan adaptasi masyarakat terhadap revolusi teknologi. Kami akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi data besar yang dianggap komoditi penting untuk mengesan pembayar cukai yang tiada dalam jaringan percukaian negara.

“Perlu diketahui, aktiviti ekonomi bayangan memberi kesan yang besar terhadap jurang cukai, di mana hasil negara tidak dapat dikutip secara optimum dan kesannya, dana yang boleh dibelanjakan oleh kerajaan untuk rakyat tidak mencukupi.

“LHDN memandang serius impak ekonomi bayangan terhadap kestabilan ekosistem percukaian negara terutama dalam aspek memberikan keadilan cukai dan meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, LHDN ketika ini berdepan kesukaran untuk mengesan aktiviti ekonomi bayangan yang berpunca daripada sektor tersembunyi, tidak formal dan sukar dikesan.

Jelasnya, aktiviti ini pada umumnya adalah tidak berdaftar dengan agensi kerajaan, modus operandi yang sentiasa berubah-ubah dan lokasi operasi yang sentiasa bertukar, terutama selepas menyedari pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Aktiviti pengesanan ini akan membabitkan sumber tenaga kerja yang lebih ramai dan satu sistem yang lebih komprehensif membabitkan kepakaran dan kos yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabin berkata, ekonomi bayangan menjadi fokus utama yang perlu dititikberatkan dan LHDN komited merencana strategi serta melipat gandakan usaha bagi menangani ketirisan hasil negara akibat aktiviti itu.

Beliau berkata, jaringan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan agensi kerajaan juga sedang ditingkatkan bagi mengenalpasti dan menangani ketirisan hasil kesan daripada kewujudan ekonomi bayangan.

“Pendidikan cukai yang berterusan turut diperluaskan bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan dan tanggungjawab membayar cukai kepada negara serta menjadikan sistem percukaian negara sebagai aset komuniti yang perlu dipelihara demi pembangunan negara, kepentingan generasi baharu dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Berita Harian X