Ahad, 2 Februari 2020 | 4:31pm
Menara KWSP, Jalan Raja Laut. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Menara KWSP, Jalan Raja Laut. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

KWSP dijangka umumkan dividen 5.0-6.0 peratus

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen 2019 pada kadar antara 5.0 hingga 6.0 peratus, kata penganalisis.

Berdasarkan prestasi lemah saham tempatan tahun lalu, Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng, menjangkakan dana persaraan itu mampu mengagihkan dividen di antara 5.5 peratus hingga 6.0 peratus, kadar yang dianggap sebagai amat baik.

Ini kerana katanya, kebanyakan dana lain menawarkan pulangan lebih rendah ketika ini dan jika mengambil kira kadar inflasi semasa yang rendah, ia sebenarnya menjadikan pulangan sebenar KWSP adalah lebih tinggi.

“Selepas mengambil kira risiko, yang mana KWSP boleh dianggap sebagai hampir bebas risiko, maka pulangan yang mungkin diberikan dana ini adalah baik. Jika dividen yang diumumkan nanti adalah sekitar 5.5 hingga 6.0 peratus, maka ia adalah pulangan yang amat baik bagi saya,” katanya kepada BH, ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KWSP pada tahun lalu mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43 bilion dan 5.9 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Angka itu menurun sedikit berbanding kadar pada tahun 2017 yang mana untuk konvensional ialah sebanyak 6.9 peratus manakala syariah sebanyak 6.4 peratus.

Kira-kira 55 peratus pendapatan KWSP adalah daripada pelaburan dalam ekuiti yang menyumbang RM29.28 bilion atau 57.6 peratus daripada keseluruhan pendapatannya pada 2018.

Penanda aras pasaran saham negara, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) jatuh lebih enam peratus pada tahun lalu menjadikannya antara pasaran saham terburuk dengan dana asing menjual bersih saham bernilai lebih RM10 bilion.

Sementara itu Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli, turut menjangkakan dana persaraan itu akan mengagihkan dari 5.0 hingga 6.0 peratus, mengikut trend pengagihan Amanah Saham Bumiputera (ASB) oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang juga rendah pada akhir tahun lalu.

Ini kerana katanya, kedua-dua organisasi berkenaan mempunyai portfolio pelaburan yang hampir sama sekali gus pulangan ASB boleh dijadikan sebagai penanda aras buat kadar dividen KWSP.

“Jika dibuat perbandingan dengan PNB, kedua-duanya banyak melabur dalam kaunter saham yang sama, jadi maknanya apa-apa yang mampu dibayar oleh PNB tahun lalu, maka KWSP pun berkemungkinan besar akan mengikut jejak seperti dibuat PNB dalam pembayaran dividen,” katanya.

Nada sama diutarakan oleh seorang ketua ekonomi dari sebuah bank pelaburan tempatan, yang menjadikan pulangan ASB sebagai penanda aras kepada kadar dividen KWSP.

Beliau yang enggan dinamakan berkata, keadaan pasaran saham yang tidak memberangsangkan pada tahun lalu ditambah pasaran global yang lemah juga dilihat menyumbang kepada pemberian kadar dividen KWSP yang lebih rendah.

“Saya jangkakan kadar pulangan daripada KWSP kali ini ialah di antara 5.0 hingga 6.0 peratus,” katanya.

Akhir tahun lalu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan 5.50 sen seunit untuk dana utamanya, ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 membabitkan agihan pendapatan sebanyak RM9.0 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Berita Harian X