Rabu, 5 Februari 2020 | 5:03pm
BNM berkata, senarai D-SIBs akan dikemas kini setiap tahun dan diterbitkan bersama dengan Semakan Semula Kestabilan Kewangan bank pusat pada separuh kedua setiap tahun. - Arkib NSTP
BNM berkata, senarai D-SIBs akan dikemas kini setiap tahun dan diterbitkan bersama dengan Semakan Semula Kestabilan Kewangan bank pusat pada separuh kedua setiap tahun. - Arkib NSTP

Tiga bank terbesar penting kepada sistem kewangan

KUALA LUMPUR: Maybank, CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd dikenal pasti oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bank yang berpotensi menyebabkan gangguan kepada sistem kewangan serta ekonomi, jika mengalami tekanan atau kegagalan.

BNM menggunakan terma Bank Domestik Penting Secara Sistemik (D-SIBs) untuk mentakrifkan bank terbabit, yang juga tiga bank tempatan terbesar dari segi permodalan pasaran.

Bank pusat berkata, D-SIB perlu mengekalkan penampan modal yang tinggi bagi memenuhi keperluan modal kawal selia, yang termasuk keperluan Penyerapan Kerugian Lebih Tinggi (HLA).

“Ini berfungsi meningkatkan kapasiti D-SIBs untuk menyerap kerugian, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlakunya tekanan atau kegagalan semasa tempoh sukar. Ia akan menyumbang kepada sistem kewangan Malaysia yang lebih selamat dan berdaya tahan.

“Keperluan modal lebih tinggi yang diperkenalkan kepada bank sedemikian akan melengkapi rangka kerja kawal selia untuk mengimbangi risiko dicetuskan D-SIBs kepada kestabilan sistem kewangan dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Senarai pertama D-SIBs merangkumi tiga bank dihasilkan daripada data 2018 dan kaedah penilaiannya dimasukkan dalam dokumen yang dikeluarkan oleh BNM.

Bank pusat berkata, keperluan HLA yang digunakan oleh tiga bank terbabit adalah 0.5 hingga 1.0 peratus daripada aset wajaran risiko.

“Keperluan HLA bagi D-SIBs akan berkuat kuasa pada 31 Januari 2021,” katanya.

BNM berkata, senarai D-SIBs akan dikemas kini setiap tahun dan diterbitkan bersama dengan Semakan Semula Kestabilan Kewangan bank pusat pada separuh kedua setiap tahun.

Berita Harian X