Khamis, 6 Februari 2020 | 4:21pm
NAIB Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Jepun-Malaysia (JACTIM), Daiji Kojima.
NAIB Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Jepun-Malaysia (JACTIM), Daiji Kojima.

Malaysia kekal menarik bagi pelabur Jepun: JACTIM

KUALA LUMPUR: Malaysia masih kekal destinasi pelaburan menarik bagi syarikat Jepun meskipun sentimen perniagaan lemah berikutan persekitaran pasaran domestik dan global yang mencabar.

Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (JACTIM), Daiji Kojima, berkata asas ekonomi negara ini yang kukuh, lokasi yang strategik dan buruh yang berkemahiran mendorong syarikat Jepun untuk terus meningkatkan pelaburan mereka di negara ini.

Turut menjadi daya penarik adalah pekerja di negara ini juga mampu berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris, infrastruktur yang mantap serta persekitaran mesra perniagaan.

Beliau berkata, lokasi Malaysia yang strategik bagi laluan perdagangan dan bebas bencana alam seperti gempa bumi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur Jepun di rantau ini.

Namun, katanya, walaupun kos menjalankan perniagaan di negara ini masih berdaya saing, namun ia dilihat semakin meningkat dalam beberapa tahun ini.

“Negara ASEAN lain sedang cuba mengurangkan cukai korporat. Jadi, Malaysia dilihat sedikit tinggi (membabitkan cukai korporat). Bagaimanapun, secara asas, kami percaya ia (Malaysia) adalah tempat yang baik, terutama bagi perkilangan dan bidang baharu,” katanya pada sidang media mengumumkan hasil Kaji Selidik Perniagaan JACTIM ke-68 bagi separuh kedua 2019, di sini hari ini.

Berdasarkan hasil kaji selidik itu, Kojima berkata, sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Jepun di Malaysia jatuh kepada 29.9 mata, paras terendah sejak Lehman Brothers bankrap pada penghujung 2008.

Beliau berkata, kebanyakan responden memberi maklum balas bahawa konflik perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, keadaan pasaran semikonduktor yang tidak berubah dan meningkatnya kos buruh menjejaskan sentimen perniagaan.

Katanya, ramai responden juga memaklumkan perkembangan ekonomi AS dan China dan perang perdagangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu memberi kesan kepada menjalankan perniagaan di Malaysia.

Namun begitu, kaji selidik separuh kedua 2019 itu memperlihatkan jumlah pekerja mencapai paras lebihan buat pertama kali sejak Lehman Brothers bankrap pada 2008.

Mengenai tinjauan bagi 2020, Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), Mai Onozawa, berkata pada peringkat awal dijangkakan sentimen perniagaan mencatatkan kemajuan susulan persetujuan fasa pertama perdagangan AS-China, namun dengan penularan coronavirus dijangka akan memberi kesan kepada tinjauan tahun ini.

Beliau berkata, JACTIM sedang menjalankan kaji selidik mengenai kesan penyebaran virus itu terhadap perniagaan anggota dewan perdagangan itu di negara ini.

Katanya, berdasarkan keputusan awal kaji selidik itu, 24 peratus daripada 60 anggota JACTIM menyatakan mereka melihat kesan terhadap sentimen perniagaan mereka susulan penularan virus berkenaan, sementara 46 peratus pula menjangkakan akan berlaku perubahan terhadap sentimen.

Ketika ini, JACTIM mempunyai 600 anggota di Malaysia. Jumlah syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia adalah kira-kira 1,400 syarikat.

Berita Harian X