Jumaat, 7 Februari 2020 | 3:41pm
TOYOTA Motor Corp.
TOYOTA Motor Corp.

Toyota cari alternatif kepada komponen keluaran China

TOKYO: Toyota Motor Corp menaikkan unjuran keuntungan operasi tahunannya sebanyak 4.2 peratus berlandaskan kadar tukaran asing yang memihak kepadanya dan jualan di luar jangkaan.

Namun begitu, katanya, kesan penularan coronavirus sukar diukur dan masih belum diambilkira.

Syarikat pengeluaran kenderaan sudah menggantung operasi di banyak kilang di China sejajar dengan garis panduan kerajaan negara itu untuk mencegah penyebaran virus yang telah membawa kepada 560 kematian.

Wabak di China itu kemungkinan besar akan menjejaskan penjualan dan pengeluaran kereta pada suku pertama, dan juga mengganggu bekalan alat ganti untuk beberapa pengeluar kereta, dengan Hyundai Motor Co mengatakan ia juga terpaksa menggantung pengeluaran di Korea Selatan .

“Kami memantau dengan teliti inventori komponen yang dibuat di China dan digunakan di negara lain, termasuk Jepun, dan kemungkinan mencari pengeluaran alternatif," kata Pegawai Operasinya, Masayoshi Shirayanagi pada satu sidang akhbar.

Penganalisis Kredit S&P, Vittoria Ferraris, menganggarkan "sehingga setengah" kenderaan dan komponen yang biasanya dihasilkan di China boleh terjejas sekiranya penutupan kilang dilanjutkan lagi.

Pengeluaran banyak kilang di seluruh China, termasuk Toyota, kini telah dihentikan hingga 9 Februari ini.

Toyota berkata ia merancang untuk menyambung semula pengeluaran pada 10 Februari, namun ini boleh berubah sekiranya keadaan semakin teruk.

Pembuat kereta terbesar Jepun itu kini menjangkakan keuntungan operasi bagi tahun ini hingga akhir Mac meningkat kepada 2.5 trilion yen (RM92.6 bilion), naik daripada 2.47 trilion yen pada tahun sebelumnya, sejajar dengan anggaran pasaran.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X