Isnin, 10 Februari 2020 | 5:08pm

Indonesia cadang laksana pemotongan cukai korporat

JAKARTA: Parlimen Indonesia akan mula berbahas rang undang-undang baharu yang mencadangkan pemotongan cukai korporat dan menjadikan firma gergasi Internet membayar lebih banyak cukai.

Ia sebahagian rancangannya untuk memudahkan peraturan dan merangsang pelaburan ke dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Presiden Joko Widodo, yang menguasai hampir tiga suku kerusi di Parlimen, meminta pembuat dasar menyelesaikan perbahasan dan meluluskan rang undang-undang itu dalam masa 100 hari.

Berikut adalah butiran cadangan kerajaan, berdasarkan pembentangan oleh Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, hujung minggu lalu.

* Mengurangkan cukai korporat kepada 22 peratus pada 2021 dan 20 peratus pada 2023 berbanding 25 peratus ketika ini. Pengenalan secara berfasa itu akan memberikan ‘ruang’ kepada kerajaan untuk menggantikan kehilangan pendapatan yang dianggarkan berjumlah AS$6.3 bilion (RM26.1 bilion) setahun.

*Syarikat senaraian awam yang memenuhi kriteria tertentu akan mendapat tambahan tiga peratus pemotongan di bawah kadar umum.

*Firma Internet dengan penyertaan ekonomi yang besar, tanpa mengira di mana beroperasi, akan dianggap sebagai pembayar cukai residen dan akan tertakluk kepada peraturan tempatan, termasuk membayar cukai nilai tambah (VAT) 10 peratus. Indrawati berkata, Spotify dan Netflix adalah contoh syarikat yang termasuk dalam kategori berkenaan. Kedua-dua syarikat tidak memberikan maklum balas kepada permintaan mendapatkan kenyataan.

*Warga asing hanya perlu membayar cukai bagi pendapatan yang dijana di Indonesia, berbanding pendapatan dijana di seluruh dunia.

*Mengurangkan penalti ke atas bayaran lewat atau kegagalan membayar mengikut kadar pasaran ditambah lima peratus daripada maksimum 48 peratus jumlah yang patut dibayar.

*Melebarkan bayaran boleh dikembalikan di bawah VAT

-Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X