Selasa, 11 Februari 2020 | 2:42pm

Industri penerbangan negara berisiko rugi RM4.4 bilion

KUALA LUMPUR: Industri penerbangan Malaysia berdepan risiko kerugian RM4.4 bilion jika pihak berkuasa penerbangan sivil di beberapa negara mengikut langkah Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan Malaysia kepada Kategori 2 dari aspek keselamatan.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Azmir Zain, berkata tindakan FAA menurunkan taraf Malaysia ke Kategori 2 menyaksikan syarikat penerbangan berdepan kerugian RM360.8 juta manakala pengendali lapangan terbang bakal kehilangan RM10.8 juta.

Katanya, meskipun tindakan FAA memberikan kesan minimum kepada industri penerbangan awam negara, ia memberikan impak tidak langsung termasuk persoalan mengenai tahap keberkesanan pengawasan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), selain meningkatkan kos menjalankan perniagaan di Malaysia.

“Menerusi langkah FAA, syarikat penerbangan Malaysia tidak dibenarkan mengembangkan penawaran perkhidmatan ke laluan sedia ada atau melancarkan laluan baharu ke Amerika Syarikat (AS). Kita melihat kapasiti penumpang ke AS hanya 1.2 peratus daripada jumlah kapasiti keseluruhan tahun ini.

“Namun, apa yang dibimbangkan adalah langkah susulan daripada pihak berkuasa di negara lain, selain penurunan taraf ini juga mengurangkan galakan pelaburan masuk ke Malaysia dan pastinya menjejaskan reputasi dan kredibiliti negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Masa Depan Ekonomi Industri Penerbangan Awam Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Azmir berkata, bagi mengelakkan lebih banyak negara mengikut jejak FAA, Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu melaksanakan langkah komprehensif termasuk meningkatkan keupayaan CAAM dari segi infrastruktur dan modal insan.

Katanya, meskipun CAAM diperbadankan pada Januari 2018, namun badan itu masih mengharapkan sokongan kewangan daripada MOT sehingga berdepan isu ketidakupayaan untuk menawarkan pakej imbuhan kompetitif bagi menarik kakitangan teknikal berkelayakan.

“Syarikat penerbangan Malaysia berdepan risiko kerugian sehingga RM4 bilion, manakala pengendali lapangan terbang pula RM400 juta jika pihak berkuasa di beberapa negara termasuk China, Jepun dan Korea Selatan mengikuti langkah FAA.

“Kerajaan dan CAAM perlu melakukan apa yang perlu untuk mengelakkan perkara ini terjadi memandangkan Thailand juga pernah berdepan situasi sama selepas FAA menurunkan penarafan ke Kategori 2 sebelum tiga pihak berkuasa lain iaitu China, Jepun dan Korea Selatan melaksanakan perkara sama,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Azmir Zain dengan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi (kanan) semasa sidang akhbar selepas membentangkan Foward Cara Ekonomi bagi Industri Penerbangan Awam di Malaysia di pejabat MAVCOM. - Foto Owee Ah Chun
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Azmir Zain dengan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi (kanan) semasa sidang akhbar selepas membentangkan Foward Cara Ekonomi bagi Industri Penerbangan Awam di Malaysia di pejabat MAVCOM. - Foto Owee Ah Chun

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X