Jumaat, 14 Februari 2020 | 1:21pm
FITCH Ratings.

Penarafan kredit mungkin tergugat jika COVID-19 melangkaui suku pertama

KUALA LUMPUR: Negara ASEAN termasuk Malaysia memiliki penampan kewangan yang mencukupi untuk mengharungi kesan semasa susulan penularan COVID-19 (coronavirus), demikian mengikut agensi penarafan terkemuka dunia, Fitch Ratings.

Bagaimanapun, jika kesan penularan itu melangkaui suku pertama tahun ini, kekukuhan penarafan hutang untuk sebilangan negara ASEAN berkemungkinan terjejas, bergantung kepada tindak balas dasar yang dilaksanakannya, katanya.

“Malaysia (penarafan A- / Stabil) mungkin berdepan kesukaran dari segi timbal balas, dalam mengimbangi usaha merangsang pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan kewangan awam.

“Harga minyak mentah yang lemah, akan menyukarkan keupayaan kerajaan untuk memenuhi sasaran pendapatan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Oktober lalu, Malaysia menyandarkan hasil berasaskan unjuran rasmi harga minyak mentah AS$62 untuk tahun ini. Pada masa sama, kerajaan juga menyasar untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.2 peratus tahun ini daripada 3.4 peratus pada 2019.

Bagaimanapun, berikutan penularan COVID-19 serta ketidaktentuan pasaran global, harga penanda aras komoditi berkenaan, Brent, ketika ini berada dalam aliran menurun bagi tempoh enam minggu berturut-turut, iaitu daripada paras tertinggi tahun ini AS$71.75 setong dicatat pada 8 Januari lalu kepada kira-kira AS$56.35 setong.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019 menjadikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2019 sebanyak 4.3 peratus, lebih rendah berbanding unjuran rasmi 4.7 peratus.

Catatan terendah sejak krisis kewangan 2009 adalah berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi, dan bank pusat berkata, jika tanpa perkara berkenaan, pertumbuhan KDNK 2019 akan menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus.

Untuk tahun ini, Bank Negara berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku pertama tahun ini dijangka terkesan oleh COVID-19, namun ia bergantung kepada bagaimana teruknya virus itu menular serta tindak balas negara dalam menanganinya.

Fitch Ratings berkata, perkembangan semasa menambahkan lagi cabaran kepada kerajaan untuk memenuhi sasaran pengukuhan fiskal selepas menamatkan regim cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan 2018.

“Pengurangan hutang adalah pemacu utama dalam penarafan negara, dan dasar atau kejutan yang menggugat perkembangan ini mungkin memberi kesan negatif,” katanya.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Emiratus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, berdepan dengan kesukaran dalam merangsang pertmbuhan, dasar monetari yang longgar dengan menurunan kadar bunga kelihatan gagal merangsang permintaan agregat.

Beliau berkata, seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan 2019 yang jauh di bawah sasaran berikutan dengan prestasi yang lemah pada suku keempat yang jatuh kepada 3.6 peratus daripada yang disasarkan pada 5.0 peratus.

“Ekonomi Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan merangsang pertumbuhan melalui dasar fiskal yang mengembang. Tidak hairanlah sasaran defisit fiskal telah dinaikkan dari 3.0 peratus kepada 3.2 peratus.

“Cabaran paling besar ialah dalam melaksanakan pengukuhan fiscal untuk mengurangkan hutang awam, kerajaan terpaksa menambah hutang untuk melangsaikan hutang Tabung Haji dan Felda, kini berdepan pula dengan Covid-19 yang menyaksikan prestasi suku pertama yang begitu lemah.

“Untuk mengatasi kelembapan ini, dasar pengembangan fiskal mesti dilaksanakan tetapi ditengah-tengah suasana harga minyak mentah yang tidak menentu, bagaimana ia boleh dilaksanakan? Ia menjadi cabaran.

“COVID-19 lebih banyak menawarkan pertanyaan dari jawapan, ekonomi 2020 terlalu awal untuk dijangka. Kita terpaksa memantau perkembangan ini dengan rapi kerana China merupakan ekonomi kedua terbesar dunia dan ekonomi Malaysia sangat kuat bergantung kepada negara itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlahan pada suku keempat 2019, KDNK nominal berkembang pantas sebanyak 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku ketiga 2019.

Beliau berkata, KDNK nominal yang kukuh akan membantu mengurangkan tekanan terhadap sasaran defisit fiskal bagi 2019 pada 3.2 peratus dan sasaran hutang awam pada paras 52 peratus.

Ia juga akan membantu mengekang sebarang tekanan meningkat terhadap hutang isi rumah yang berada pada paras 82 peratus."Justeru, ia akan dilihat positif bahawa ekonomi (negara) dijangka kekal tinjauan penarafan "stabil" oleh agensi penarafan asing," katanya.

Penganalisis ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata masalah ekonomi yang perlahan dialami oleh Malaysia bukanlah sesuatu yang asing kerana ia turut dialami oleh ASEAN dan Asia Barat.

Beliau berkata, kesan ekonomi dari COVID-19 ini akan mengganggu sektor pembuatan yang berdasarakan rantaian pembuatan seperti elektronik, elektrik dan permotoran.

“Apabila sektor pembuatan di China seperti pengeluaran telefon pintar, TV, komputer dan sebagainya mengurangkan aktiviti kesan dari COVID-19, maka terjejaslah syarikat Malaysia yang bergantung kepada aktiviti ini.

“Impak ini akan mula dirasai pada suku pertama dan kedua tahun ini dimana sektor perkilangan dijangka perlahan.

“Kesan dari ini termasuklah perang perdagangan dan harga minyak mentah yang jatuh. Ia turut menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

“Kebergantungan Malaysia kepada pengembangan ekonomi swasta untuk memacu pertumbuhan negara jelas sekali, namun kelestarian sektor ini tidak dijangka bertahan lama sekiranya faktor utama yang mempengaruhi ekonomi dunia tidak dapat diselesaikan.

“Badan penarafan antarabangsa akan menilai bagaimanakah kerajaan menangani masalah ini terutamanya apakah pakej rangsangan ekonomi berkesana atau pun tidak,” katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, walaupun ada risiko penarafan kredit Malaysia akan tergugat disebabkan penularan COVID-19, risikonya adalah rendah kerana pemacu utama penarafan kredit seperti pengurangan hutang adalah bersifat jangka masa panjang dan bukan hanya untuk suku tahun sahaja.

Beliau berkata, kika melihat perancangan kerajaan untuk mengukuhkan fiskal dengan mencapai belanjawan seimbang dan pengurangan hutang, strategi yang dilaksanakan adalah untuk beberapa tahun yang akan datang sebelum objektif tersebut dapat dicapai.

“Agensi penarafan juga sebenarnya sudah sedia maklum perkara ini dan sudah tentu penarafan mereka tidak semata-mata bergantung kepada prestasi ekonomi untuk beberapa bulan.

“Oleh itu saya yakin bahawa penarafan kredit Malaysia tidak akan terjejas kerana sudah ada tanda-tanda penularan COVID-19 sudah mula stabil ditambah dengan rancangan kerajaan untuk melakukan pakej ransangan ekonomi bermula akhir bulan ini atau awal bulan Mei,” katanya.

Berita Harian X