Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:35pm

Penguncupan ekonomi Jepun tertinggi sejak 2014

TOKYO: Ekonomi Jepun tahun lalu bakal mengalami penguncupan terbesar sejak 2014 dan dijangka terjejas lebih teruk susulan penularan COVID-19 (coronavirus).

Perbelanjaan pengguna turun mendadak selepas kenaikan cukai jualan, yang menjadi penyebab utama penguncupan tahunan sebanyak 3.8 peratus yang dianggarkan oleh penganalisis ekonomi.

Ini akan menjadi situasi ekonomi terburuk Jepun sejak suku kedua 2014, apabila peningkatan cukai terdahulu menyebabkan ekonomi menguncup sebanyak 7.4 peratus.

Ahli ekonomi sebelum ini menjangkakan penguncupan suku keempat tahun lalu adalah disebabkan oleh kelemahan cukai data eksport, yang mengganggu sektor pembuatan.

Namun, penganalisis kini berkata, COVID-19 berpotensi melambatkan atau bahkan menjejaskan ramalan pemulihan yang lemah pada awal tahun ini.

“Ekonomi Jepun tidak berada dalam kedudukan yang teguh untuk bermula, menyebabkan pertumbuhan lebih terdedah ke wilayah negatif jika berlaku faktor lain seperti COVID-19,” kata Ahli Ekonomi Mitsubishi UFJ Morgan Securities, Hiroshi Miyazaki.

Miyazaki meramalkan ekonomi negara itu mengalami penurunan 7.5 peratus.

Ahli ekonomi menganggarkan bahawa perbelanjaan pengguna susut 7.8 peratus pada suku keempat, di samping penurunan pelaburan dan eksport.

Kelemahan ekonomi mungkin dapat ditampung jika inventori memberi angka yang lebih tinggi, menjadikannya sebagai rangsangan sementara.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah mengambil tindakan pada Disember untuk menyokong ekonomi dengan pakej rangsangan yang perlu mengangkat pertumbuhan seiring dengan perkembangan tahunan.

Beliau turut mengumumkan satu langkah yang terhad untuk membantu memerangi kesan daripada virus itu, termasuk jaminan pinjaman untuk perniagaan kecil.

-Bloomberg

Berita Harian X