Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:06pm
Ekonomi Singapura mungkin berdepan kemelesetan berikutan penularan COVID-19, kata Hsien Loong, hari ini. - Arkib NSTP

Ekonomi Singapura mungkin meleset disebabkan COVID-19

SINGAPURA: Ekonomi Singapura mungkin berdepan kemelesetan berikutan penularan COVID-19, kata Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, hari ini.

Republik itu juga sedang bersedia berdepan kesan besar dalam suku akan datang.

“Ia adalah penularan yang pantas,” kata Hsien Loong dalam klip video tinjauannya di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Saya tidak boleh menyatakan sama ada kita akan berdepan kemelesetan atau tidak. Ia berkemungkinan, tetapi ekonomi kita pasti menerima kesannya,” kata Hsien Loong.

Hsien Loong berkata, perniagaan di lapangan terbang negara itu terjejas susulan penurunan penerbangan sebanyak sepertiga.

Singapura menghentikan kemasukan semua pelawat dari China, sumber pelancong terbesarnya, manakala beberapa negara telah mengehadkan perjalanan ke Singapura kerana negara itu mencatat kes terbesar di luar China dengan 58 jangkitan.

Sektor perkilangan dan perdagangannya juga mungkin terganggu ekoran penularan berkenaan.

Sebelum, negara hab perniagaan Asia itu mula menunjukkan pemulihan daripada kadar pertumbuhan ekonomi terendahnya dalam sedekad pada tahun lalu, iaitu 0.7 peratus, ketika COVID-19 mula tersebar di Singapura iaitu pada penghujung Januari.

Republik itu dijadual mengumumkan data pertumbuhan akhir suku keempat pada Isnin ini, dan ahli ekonomi menjangka semakan semula unjuran pertumbuhan 2020 dalam kadar antara 0.5 peratus hingga 2.5 peratus.

Pada Selasa ini, kerajaan dijangka melancarkan pakej rangsangan untuk meredakan tamparan ekonomi susulan COVID-19, dengan beberapa penganalisis menjangkakan ia akan mengalami defisit terbesar dalam tempoh sedekad.

Ahli ekonomi di Citi dan Maybank menjangka pakej rangsangan itu adalah sekurang-kurangnya S$700 juta (RM2.09 bilion). - Reuters

Berita Harian X