Ahad, 16 Februari 2020 | 2:45pm

SME Corp teroka industri gaharu, orkid dan burung walit

KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia sedang meneroka industri gaharu, orkid dan burung walit supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih berkembang dan berdaya maju dalam mengakhiri Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said, berkata agensi itu akan membangunkan teknologi dibangunkan oleh penyelidik daripada tanaman gaharu dan orkid serta penternakan burung walit untuk pasaran global.

Katanya, SME Corp dan agensi yang berkaitan akan menghasilkan teknologi pemprosesan minyak gaharu untuk menjadikan gaharu sebagai bahan asas kepada pengeluaran produk wangian.

“Industri ‘hidden gem’ ini (gaharu, orkid dan burung walit) adalah sasaran kita bagi penutup kepada RMK-11.

“Kita sebagai sebuah agensi akan memastikan industri ini mendapat tempat dalam kalangan PKS sekali gus bersedia membawa teknologi itu ke pasaran global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, SME Corp akan turut memberi galakan kepada PKS untuk membangunkan teknologi bateri yang menjadi bahan utama dalam era pendigitalan.

“Teknologi berkaitan bateri – bahan utama kepada era pendigitalan bagi semua peranti mudah alih. Oleh itu, kapasiti bateri diperlukan untuk lebih cekap,” katanya, sambil menambah Malaysia berpotensi menjadi peneraju teknologi bateri.

Katanya, China adalah pengeluar terbesar kenderaan elektrik (EV), selain menjadi peneraju teknologi bateri lithium-ion yang menggerakkan EV, telefon pintar dan peranti mudah alih lain.

Mengenai persediaan PKS dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Noor Azmi berkata, agensi itu bersedia menjadi pemangkin untuk memastikan PKS lebih memahami mengenai pendigitalan dan ekonomi digital.

Beliau berkata, keselamatan siber menjadi fokus utama SME Corp dalam membantu PKS menghadapi IR4.0.

“Fokus pada masa ini ialah menggalakkan PKS mendigitalkan perniagaan mereka untuk memastikan mereka bersedia untuk IR4.0,” katanya.

Katanya, SME Corp akan turut menganjurkan program pengurusan risiko untuk PKS bagi memberi pengetahuan kepada mereka mengenai pengurusan siber, pengurusan perundangan dan pengurusan keselamatan pekerjaan.

“Agensi juga telah berbincang dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk menyebarkan maklumat mengenai keselamatan pekerjaan terutama PKS yang terbabit dalam bidang pembuatan,” katanya.

-BERNAM

Berita Harian X