Isnin, 17 Februari 2020 | 6:12pm

TERAJU kenal pasti sektor baharu untuk usahawan bumiputera

ISKANDAR PUTERI: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kini lebih proaktif mengenal pasti peluang bagi usahawan bumiputera terutama dalam sektor ekonomi baharu yang mempunyai nilai dan impak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Md Silmi Abd Rahman berkata sejak TERAJU ditubuhkan pada 2011, pembabitkan usahawan kebanyakannya lebih menjurus kepada bidang atau sektor tradisional seperti pembuatan dan perkhidmatan.

“Bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kita akan fokus kepada sektor ekonomi baharu membabitkan bidang seperti bioperubatan, bioteknologi, aeroangkasa, perladangan pintar dan industri digital.

“Kenapa kita nak ceburi ke dalam bidang baharu ini? Ini kerana kita nak beri ruang baharu kepada golongan belia yang sudah atau dikenal pasti terlibat dalam bidang-bidang ini,” katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, di sini, hari ini.

Sejak TERAJU ditubuhkan, nilai terkumpul bagi peluang yang berjaya diciptakan untuk agenda bumiputera melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program TERAJU adalah RM145.3 bilion.

Md Silmi berkata daripada nilai berkenaan, kurang lima peratus dihasilkan menerusi sektor baharu.

“Kita menyasarkan 20 hingga 30 peratus nilai yang tercipta dari agenda bumiputera akan disumbangkan oleh bidang sektor baharu dalam tempoh lima tahun akan datang untuk RMK-12,” katanya.

Selain itu, TERAJU turut melihat potensi kerjasama dengan universiti penyelidikan di negara ini untuk projek berasaskan komuniti dan bertindak sebagai serampang dua mata bukan sahaja untuk membantu usaha pengkomersialan malah mendorong masyarakat meningkatkan taraf kehidupan terutama kumpulan B40.

TERAJU merupakan unit strategik di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. – Bernama

Berita Harian X