Khamis, 20 Februari 2020 | 7:46pm
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel. - Arkib NSTP
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel. - Arkib NSTP

Rokok seludup jejas pendapatan 2019 BAT, susut 11.9 peratus

KUALA LUMPUR: Prestasi kewangan British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) bagi tahun 2019 mencatat penurunan ketara selepas terjejas dengan perdagangan rokok seludup yang semakin meningkat di dalam negara.

Syarikat itu merekodkan keuntungan daripada operasi untuk tahun 2019 sebanyak RM478 juta, turun 24.9 peratus daripada RM637 juta pada tahun 2018.

Pendapatan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM2.508 bilion, susut 11.1 peratus berbanding RM2.822 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi prestasi suku keempat berakhir 31 Disember 2019, untung daripada operasinya merekodkan RM138.4 juta, jatuh 14.78 peratus berbanding RM162.4 juta pada suku sama tahun 2018.

Pendapatan untuk suku dikaji menyusut 14.04 peratus kepada RM662.4 juta berbanding RM770.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, prestasi kewangannya untuk tahun 2019 menandakan penurunan pendapatan dan untung daripada operasi buat tahun keempat berturut-turut sejak kerajaan menaikkan cukai rokok pada 2015.

Katanya, jumlah penguasaan industri rokok sah telah jatuh sebanyak 10 peratus bagi tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya, yang disumbangkan terutamanya oleh peningkatan perdagangan rokok seludup yang ketika ini mewakili 63 peratus daripada jumlah keseluruhan industri.

“Jumlah ini meningkat dengan mendadak daripada 33.5 peratus pada 2015. Ini juga bermakna, industri rokok sah telah berkurangan hampir 40 peratus dalam tempoh empat tahun sejak 2015 disebabkan oleh perdagangan rokok seludup,” katanya.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel, berkata biarpun terdapat peningkatan dalam penguatkuasaan tahun ini, usaha yang tidak konsisten membuktikan ia tidak mencukupi untuk menangani masalah rokok seludup yang amat tinggi dan tidak diterjemahkan kepada pemulihan jumlah untuk rokok sah.

Katanya, pihaknya menjangkakan yang ia akan terus memberi kesan negatif kepada prestasi kewangan BAT Malaysia dan seterusnya menghukum pemegang saham dan komuniti pelaburan.

“Prestasi kewangan kami mungkin lebih buruk sekiranya lembaga pengarah dan barisan kepemimpinan tidak melakukan keputusan sukar dengan melaksanakan rasionalisasi pelaburan dan memotong kos operasi dengan agresif.

“Kami terpaksa mengurangkan pekerja, menstruktur semula cara kami bekerja dan melonggarkan sumber yang mencukupi untuk membolehkan kami mempunyai ruang untuk bernafas ketika kami beroperasi dalam persekitaran yang tidak dapat dipertahankan di mana tujuh daripada 10 produk adalah milik ekonomi gelap.

"Selain itu, jelas daripada perubahan harga saham kami bahawa komuniti pelaburan telah kehilangan keyakinan terhadap cara penyelesaian daripada kerajaan dan keupayaan untuk menangani masalah perdagangan rokok seludup,” katanya.

Erik turut menekankan bahawa harga saham semasa BAT Malaysia tidak mencerminkan kekuatan dan dasar organisasi.

“Malangnya, sebagai syarikat korporat, kami tidak boleh bertindak sendiri untuk menangani isu pemerdagangan rokok seludup.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab dan bertindak secara radikal; strategi seperti resolusi berdasarkan permintaan, beserta kajian semula cukai eksais, perlu diterokai.

“Pemain industri sah perlu diberikan kebenaran untuk memperkenalkan produk “pencantas” yang akan menumpaskan pasaran rokok seludup dan merebut kembali pasaran.

“Jika tidak, lama-kelamaan seluruh industri sah dijangka akan mengalah kepada sindiket rokok seludup yang tidak mematuhi sebarang undang-undang atau membayar cukai,” katanya.

Berita Harian X