Selasa, 25 Februari 2020 | 3:10pm
NESTLÉ (Malaysia) Bhd
NESTLÉ (Malaysia) Bhd

Nestlé Malaysia raih pendapatan RM5.5 bilion pada 2019

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Bhd meraih pendapatan mencecah RM5.5 bilion bagi tahun kewangan 2019, didorong permintaan pengguna yang mantap, dibantu langah kecekapan dan penjimatan kos.

Pengeluar antara jenama utama seperti Milo, Maggi dan Kit Kat itu, berkata keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2019 meningkat 2.1 peratus kepada RM673 juta, walaupun dihimpit keadaan ekonomi dan faktor luaran yang mencabar.

Pencapaian itu sekali gus membolehkan ia mengumumkan dividen

akhir sebanyak RM1.40 sesaham, menjadikan dividen keseluruhan bagi tahun 2019 berjumlah RM2.80 sesaham, setanding dividen rekod tertinggi pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata pencapaian itu mencerminkan asas kukuh kumpulan dan usaha yang dilaksanakan meskipun dalam keadaan yang sukar.

“Pertumbuhan jualan tempatan kami pada kadar 4.7 peratus, selepas mengambil kira pelupusan bahagian tenusu dingin, adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan pasaran.

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa jenama-jenama kami kekal relevan dan terus memainkan peranan dalam kehidupan rakyat Malaysia.”

“Prestasi mantap kami di Malaysia disokong oleh pelaksanaan jualan operasi yang kukuh, dengan memanfaatkan trend pasaran dan aliran inovasi berterusan sepanjang tahun, yang kebanyakannya mendapat sambutan baik pengguna kami,” katanya.

Kejayaan pelancaran pada 2019 kumpulan itu adalah termasuk meluaskan rangkaian MAGGI Pedas Giler, pilihan Sedia Diminum baru, yang antara lain termasuk NESCAFÉ Tarik Kurang Manis dan MILO Protein Up, pelancaran rangkaian STARBUCKS AT HOME, NESTUM Brown Rice, dan juga penambahbaikan rangkaian Aiskrim LA CREMERIA.

Pada suku keempat 2019, Nestlé Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan domestik 2.8 peratus (4.7 peratus selepas pelarasan bagi pelupusan perniagaan Tenusu Dingin).

Meninjau ke hadapan, Aranols berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan untuk memacu momentum pertumbuhan yang kukuh, mendorong pembangunan jenama dan membina keupayaan untuk terus menghasilkan pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan.

Pendekatan ini akan terus menghasilkan kecekapan dan penjimatan demi membiayai pertumbuhan dan melindungi prestasi kewangan, katanya.

“Faktor luar pasti akan terus menimbulkan tekanan, termasuk kesan harga komoditi dan juga beberapa krisis yang dihadapi dunia pada awal tahun ini. Tetapi kami yakin bahawa asas kami yang kukuh dan dengan tumpuan terhadap aktiviti berpandukan pengguna, kami bersedia untuk mencapai pertumbuhan berterusan pada 2020.”

“Sebagai syarikat makanan dan minuman terbesar, kami juga komited untuk memanfaatkan saiz dan kedudukan kami untuk memberikan sumbangan yang bermakna dan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Kemampanan menjadi salah satu daripada prasyarat bagi pertumbuhan jangka panjang Nestlé, dan kami akan terus menyokong usaha mencipta masa depan tanpa sisa demi kemampanan alam sekitar,” rumus Aranols.

Berita Harian X