Khamis, 27 Februari 2020 | 12:10pm

Program SUPERB tawar geran perniagaan RM500,000

KOTA BHARU: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) memperuntukkan RM15 juta kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi pelaksanaan program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, berkata program berasaskan pertandingan itu menawarkan hadiah dalam bentuk Geran Pembangunan Perniagaan bernilai sehingga RM500,000 kepada usahawan belia Bumiputera berumur di antara 21 dengan 40 tahun.

“TERAJU kini di dalam proses akhir perancangan dan tempoh permohonan dijangka dibuka pada akhir April ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata di bawah program SUPERB, TERAJU telah mengenal pasti dan membantu seramai 227 usahawan permulaan belia Bumiputera di seluruh negara dan daripada jumlah itu 17 adalah pemenang dari wilayah pantai timur.

Program SUPERB, dilaksanakan mulai 2014, bertujuan mengetengahkan usahawan permulaan belia Bumiputera yang berdaya saing dan mempunyai inovasi baharu selain menerapkan amalan kreatif serta inovatif dalam penghasilan produk perniagaan mereka.

Mohd Silmi berkata, sebanyak RM92.76 juta telah diperuntukkan kepada mereka untuk memajukan idea, inovasi dan perniagaan yang diusahakan dalam bidang ekonomi digital, Revolusi Perindustrian Keempat, perusahaan industri dan perkongsian ekonomi, kreatif, industri seni dan kesihatan, inovasi makanan serta pertanian tani dan berasaskan tani.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata TERAJU memperuntukkan RM7.5 juta bagi program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) di wilayah pantai timur tahun ini, ke arah mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), dalam menangani jurang pendapatan dan ekonomi penduduk terutama kumpulan B40 dan M40.

“Program ini memberi fokus kepada pembangunan projek komuniti untuk golongan bumiputera B40 di kawasan luar bandar. Bagi menjayakan program ini, TERAJU akan bekerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang.

“Antara projek DPUB sebelum ini adalah program bantuan pembelian peralatan bagi menjalankan perniagaan bernilai RM2.7 juta, Skim Bantuan Pinjaman Mikro bersama Maybank (RM3.7 juta) dan Bantuan Ladang Kontrak bagi Peladang dan Penternak Satelit di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) (RM2 juta)," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pelaburan yang membabitkan pembangunan infrastruktur dalam sektor hartanah di kawasan pedalaman dan tanah rizab Melayu berjaya meningkatkan nilai hartanah berkenaan.

“Sebagai contoh, kewujudan pembangunan perumahan PR1MA di Kampung Hijrah, Kuantan, Pahang oleh Binaan Desajaya Sdn Bhd telah meningkatkan harga tanah rizab Melayu di persekitarannya sebanyak 30 peratus setelah fasa pertama projek perumahan itu siap dan diduduki oleh pembeli.

“Program ini juga membantu kebanyakan peserta industri minyak, gas dan petrokimia terutama di kawasan Kemaman, Terengganu serta di Gebeng dan Kuantan, Pahang untuk terus bertahan dan berdaya saing walaupun berdepan masalah ketidaktentuan harga minyak mentah pada 2017 dan 2018,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X