Khamis, 27 Februari 2020 | 9:36pm
Bank Negara Malaysia (BNM). - Foto Muhd Amin Naharul
Bank Negara Malaysia (BNM). - Foto Muhd Amin Naharul

Bank Negara peruntuk kemudahan pinjaman PKS RM3.3 bilion

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM3.3 bilion di bawah Tabung BNM untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu perniagaan serta isi rumah yang terjejas berikutan penularan COVID-19.

BNM menerusi kenyataan hari ini berkata kemudahan pembiayaan itu bertujuan menyediakan sokongan kepada PKS dalam meneruskan operasi perniagaan, mengekalkan pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik.

Ia berkata kemudahan pembiayaan itu merangkumi tiga jenis iaitu Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion; Kemudahan Agromakanan (AF) dengan jumlah RM1 bilion; serta Kemudahan Automasi dan Digital pula sebanyak RM300 juta.

SRF adalah bagi membantu meringankan beban aliran tunai jangka pendek PKS yang terjejas ekoran COVID-19, kata bank pusat.

“PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun, termasuk enam bulan tempoh penangguhan bayaran balik. Kadar pembiayaan ditetapkan tidak melebihi 3.75 peratus setahun. Permohonan untuk SRF dibuka mulai 6 Mac, 2020 sehingga 31 Disember 2020,” kata BNM.

AF pula bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara dan untuk eksport justeru PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga lapan tahun.

“Kadar pembiayaan ditetapkan tidak melebihi 3.75 peratus setahun. Permohonan AF dibuka mulai 6 Mac, 2020,” menurut BNM.

BNM berkata, ADF bertujuan menggalakkan PKS mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi mereka bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM3 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. Kadar pembiayaan ditetapkan pada 4.00 peratus setahun. Permohonan untuk ADF dibuka mulai 6 Mac, 2020 sehingga 31 Dis, 2020, kata bank pusat.

BNM berkata, PKS yang berminat boleh memohon terus daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian merangkumi bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh bank pusat.

“PKS juga boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi platform rujukan pembiayaan perniagaan di imsme.com.my,” katanya.

BNM berkata institusi kewangan yang mengambil bahagian boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) bagi kemudahan pembiayaan berkenaan.

Institusi kewangan juga komited untuk menyokong perniagaan dan isi rumah yang terjejas maka akses kepada pembiayaan yang lebih luas terus disediakan, kata BNM.

BNM berkata institusi kewangan menjangka meluluskan kira-kira RM200 bilion pembiayaan perniagaan kepada PKS yang berdaya maju dan pembiayaan perumahan kepada isi rumah yang layak pada 2020.

BNM mengalu-alukan usaha institusi kewangan yang secara proaktif telah menyediakan bantuan kepada perniagaan berdaya maju dan isi rumah yang sedang menghadapi masalah kewangan sementara.

Ia dilaksanakan menerusi menstrukturkan dan menjadualkan semula kemudahan pembiayaan mereka, termasuk memberikan penangguhan bayaran balik pembiayaan, kata bank pusat.

“Pengendali insurans dan takaful juga turut memberikan jaminan bahawa pemegang polisi akan mendapat perlindungan bagi kemasukan ke hospital dan rawatan yang berkaitan dengan COVID-19 di hospital kerajaan dan swasta,” kata BNM.

Orang ramai dinasihati supaya menghubungi terus pusat khidmat pelanggan institusi kewangan mereka bagi sebarang pertanyaan atau bantuan.

Orang ramai juga boleh menghubungi TELELINK BNM melalui talian 1-300-88-5465 mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan. - Bernama

Berita Harian X