Isnin, 2 March 2020 | 8:29pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Izwan Zainuddin. NSTP/Mustaffa Kamal
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Izwan Zainuddin. NSTP/Mustaffa Kamal

PUNB bantu usahawan terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memperhebatkan lagi usaha misi perdagangan tahun ini dengan meninjau peluang penyumberan alternatif bagi membantu usahawannya dalam menangani masalah bekalan yang terkesan oleh penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin, berkata dalam tempoh terdekat ini, PUNB akan mengadakan misi perdagangan untuk penyumberan alternatif bagi membantu usahawan dalam menangani impak penularan COVID-19 yang mengundang masalah bekalan, terutama dari China.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas awal kaji selidik yang dijalankan PUNB mendapati, setakat Isnin lalu, lebih 40 peratus daripada lebih 160 usahawan perbadanan itu menyatakan terkesan penularan COVID-19 terhadap perniagaan.

Justeru, katanya, berdasarkan maklum balas diterima, usahawan PUNB mencadangkan untuk mendapatkan penyumberan alternatif dari segi bekalan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kami bercadang untuk mengadakan misi perdagangan bagi penyumberan alternatif pada hujung Mac atau awal April ini. Contohnya, bagi usahawan terbabit dalam dunia fesyen, mereka boleh mendapatkan bekalan alternatif bahan mentah dari Vietnam, Bangladesh dan India,” katanya kepada BH dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Izwan berkata, PUNB mula mengadakan misi perdagangan sejak tahun lalu untuk memperkasakan usahawan Bumiputera dalam arena antarabangsa.

Beliau berkata, tahun lalu, perbadanan itu sudah menganjurkan tiga misi perdagangan iaitu ke Taiwan, Afrika Selatan dan Jepun bagi membantu usahawannya mendapatkan bekalan dan mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara.

Katanya, PUNB juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk misi perdagangan itu, yang mana MATRADE bertanggungjawab dalam menguruskan padanan perniagaan.

“Selain menyediakan pembiayaan bagi usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan, kami juga giat untuk memperkasakan usahawan ini pada peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya, ramai usahawan kami yang sudah mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara,” katanya.

Izwan berkata, selain mengadakan misi perdagangan meninjau penyumberan alternatif, PUNB juga membantu usahawan dengan memberikan moratorium kepada usahawan yang perniagaan mereka terkesan penularan COVID-19.

Sejak ditubuhkan pada 1991, PUNB sudah membantu lebih 12,000 usahawan Bumiputera dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Berita Harian X