Selasa, 3 March 2020 | 3:22pm

MIDF tawar kelonggaran kewangan susulan COVID-19

KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menawarkan kelonggaran kewangan untuk membantu pelanggannya menghadapi kelembapan pertumbuhan ekonomi yang dijangkakan berikutan penularan COVID-19.

Tawaran itu, menerusi Bahagian Kewangan Pembangunan (BKP) MIDF akan merangkumi penangguhan pembayaran balik bulanan, penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan serta lanjutan tempoh akhir bagi kemudahan pusingan.

Ketua BKP, Azizi Mustafa, berkata COVID-19 telah menjejaskan ekonomi, sejak peningkatan kes jangkitan virus itu awal tahun ini, terutama ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain sektor pelancongan sehingga menyebabkan jumlah pelancong berkurangan.

“Kami berharap dapat memberi kelegaan dan sokongan kewangan kepada syarikat terutama PKS dalam sektor yang terjejas teruk seperti pembuatan, hotel, runcit, pengangkutan dan perkhidmatan menerusi langkah tersebut, selain membantu ekonomi ini pulih semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDF berkata, langkah berkenaan adalah seiring dengan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan pada 27 Februari lalu.

Berdasarkan pakej itu, semua bank perlu menyediakan kelonggaran kewangan dalam bentuk moratorium pembayaran meliputi penstrukturan semula dan penjadualan semula bayaran balik pinjaman bagi perniagaan yang terjejas.

Ia sekali gus membolehkan syarikat berkenaan mempunyai lebih fleksibiliti dalam pengurusan aliran tunai masing-masing. – Bernama

Berita Harian X