Ahad, 8 March 2020 | 4:04pm

Bank tempatan sedia bantu ringan beban kewangan PKS

KUALA LUMPUR: Bank-bank tempatan akan bersedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semasa tempoh sukar ketika penularan COVID-19 memasuki gelombang keduanya, selain Bank Negara Malaysia

“Sebagai tulang belakang ekonomi negara, sektor PKS layak mendapat semua bantuan yang ia boleh dapatkan dalam mencabar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Keutamaannya adalah menyediakan PKS dengan modal kerja tambahan bagi mengekalkan perniagaan mereka dan, seterusnya melindungi pekerjaan, terutamanya dalam sektor terjejas seperti pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan makanan dan minuman,” katanya dalam temu bual menerusi emel.

Bagi tujuan ini, pakej RM3.3 bilion Bank Negara sudah pastinya akan membantu meringankan beban kewangan PKS.

“Selain daripada pembiayaan, kami juga menyambut baik inisiatif seperti Kemudahan Agrofood bernilai RM1 bilion serta Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS sebanyak RM300 juta.

“Kemudahan ini bukan sahaja mempunyai kadar pembiayaan rendah tetapi juga tempoh yang lebih panjang. Ciri-ciri pembiayaan seumpama itu penting bagi memudahkan pelan pertumbuhan jangka sederhana PKS,” katanya.

CIMB juga memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa semua permohonan bagi penstrukturan semula dan penjadualan semula kemudahan pembiayaan mereka akan diberikan pertimbangan sejawarnya.

“Jika perlu, kami juga mungkin melanjutkan tempoh pembayaran semula bagi pelanggan. Bagi melengkapkan inisiatif nasional kami, CIMB juga komited mengagihkan RM15 bilion pada 2019-2020 untuk membantu PKS berkembang.

“Ditambah dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini kami percaya sektor PKS Malaysia akan mendapat sokongan padu bagi mengharungi krisis ketika ini yang disebabkan oleh COVID-19 dan cabaran operasi lain,” katanya.

Bank Negara menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada 3 Mac, 2020, yang menjadi pengurangan kadar kedua oleh bank pusat itu tahun ini.

Penurunan itu bertujuan menyediakan persekitaran monetari lebih akomodatif untuk menyokong jangkaan peningkatan pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah kestabilan harga.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda, berkata bank itu optimis ekonomi domestik akan kekal kukuh, disokong oleh langkah-langkah monetari dan fiskal, serta institusi kewangan yang proaktif membantu pelanggan mengharungi tempoh sukar ini.

“Kami juga komited untuk memudahkan kemudahan dalam mengekalkan pembiayaan yang sesuai semasa tempoh ini, dan membantu pelanggan kami yang mungkin mengalami gangguan aliran tunai jangka pendek bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan mereka dalam tempoh tidak menentu ini,” katanya.

Penularan COVID-19 telah menjejaskan perniagaan di seluruh dunia yang membawa kepada naik turun pasaran ketika ini, dengan PKS terutamanya lemah dari segi menguruskan aliran tunai, inventori dan pengedaran barang dan perkhidmatan mereka semasa tempoh ini, kata Fuda.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kami telah menyediakan Pelan Bantuan Kewangan Pelanggan untuk menyokong PKS dan pelanggan individu yang terjejas akibat COVID-19.

“Dengan menyusun semula dan menjadualkan semula pinjaman dan pembiayaan mereka, bagi membantu situasi aliran tunai jangka pendek mereka,” katanya. - Bernama

Berita Harian X