Isnin, 9 March 2020 | 4:14pm

Harga sawit susut hampir 10 peratus, RM2,274 satu tan

KUALA LUMPUR: Harga harian minyak sawit susut hampir 10 peratus kepada paras terendah sejak Oktober susulan kejatuhan minyak mentah dan kecelaruan dalam pasaran kewangan.

Senario itu yang mencetuskan panik di kalangan pelabur yang sudah terasa bahang dengan penularan COVID-19 (coronavirus).

Pada tengahari, harga komoditi itu jatuh RM248 atau 9.9 peratus kepada RM2,274 satu tan berbanding penutup semalam.

Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah menjunam susulan perang harga yang meletus antara Arab Saudi dan Russia, sekali gus menjejaskan minat minyak tropika sebagai minyak bio.

“Negara seperti Indonesia, Malaysia dan Brazil mungkin berdepan kesukaran untuk mencapai mandat minyak bio susulan kejatuhan harga minyak gas yang akan menggugat daya tarikan minyak bio berasaskan sayuran,” kata Ketua Penyelidik Sunvin Group, Anilkumar Bagani ketika dipetik Bloomberg.

Harga minyak sawit merosot 30 peratus dari paras harga kemuncak pada Januari dan terperangkap dalam pasaran kurang memberangsangkan ekoran pelabur bimbang berhubung dengan impak COVID-19 ke atas permintaan minyak sawit, eksport yang merosot dari Malaysia dan jangkaan peningkatan pengeluaran.

“Impak langsung ke atas sawit adalah dari faktor luaran iaitu kejatuhan dalam pasaran ekuiti dan minyak mentah yang mengheret turun harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM),” kata Pemilik Palm Oil Analytics, Sathia Varqa.

“Seterusnya adalah impak ke atas permintaan bagi sawit.”

Kejatuhan mendadak harga minyak dengan prospek yang semakin tidak meyakinkan akan memberi impak buruk kepada permintaan minyak bio.

Berita Harian X