Isnin, 16 March 2020 | 1:46pm
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) bersama Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memulakan tugas dengan menghadiri Mesyuarat Pasca Kabinet di di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini.-Foto BERNAMA
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) bersama Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memulakan tugas dengan menghadiri Mesyuarat Pasca Kabinet di di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini.-Foto BERNAMA

COVID-19: Peminjam TEKUN, Bank Rakyat, SME Bank ditawar tangguh bayaran

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan tawaran penangguhan pembayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada semua peminjam di bawah tiga agensinya.

Tiga agensi terbabit ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, moratorium itu diputuskan selepas mengambil kira kesan wabak COVID-19 kepada ekonomi negara.

“Ini adalah tindakan yang diambil untuk mempertahankan ekonomi kita serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga yang mungkin terjejas dengan penularan wabak ini.

“Penangguhan pembayaran balik pinjaman ini adalah membabitkan semua pihak termasuk individu, bukan hanya kepada PKS atau syarikat sahaja.

“Kita mengharapkan selepas tempoh berkenaan, perniagaan yang terjejas boleh bermula semula dan mampu untuk membayar kembali hutang yang tertunggak selama enam bulan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena hari pertama mula tugasnya di kementerian berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ditanya sama ada tempoh moratorium itu akan dilanjutkan sekiranya wabak itu masih berlarutan, Wan Junaidi berkata, keputusan berkenaan akan diputuskan pada masa akan datang bergantung kepada situasi yang berlaku ketika itu.

Dalam pada itu beliau berkata, persepsi yang menganggap bahawa pembabitan Bumiputera dalam sektor koperasi masih belum boleh dibanggakan adalah sesuatu yang kurang tepat.

“Kalau kita lihat sebagai contoh, Bank Rakyat itu sendiri adalah bank kepunyaan koperasi dan ia adalah antara 10 bank koperasi terbesar di dunia.

“Jadi, mana mungkin boleh kita mengecilkan pergerakan koperasi di Malaysia. Bank Rakyat juga adalah salah satu bank terbesar di Malaysia dan mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan usahawan tempatan.

“Justeru, kita mahu ubah persepsi ini. Negara pada masa ini mempunyai lebih 14,600 koperasi dan lebih 6.6 juta ahli di seluruh negara. Ia menjana pendapatan kepada negara sebanyak RM40 bilion setahun menjadikannya sebagai sebuah sektor yang penting untuk membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X