Jumaat, 20 March 2020 | 12:21pm
BANK Negara Malaysia
BANK Negara Malaysia

Penurunan SRR jamin kecairan dalam sistem kewangan

KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) kepada 2.0 peratus daripada 3.0 peratus, tepat pada masa berdasarkan situasi ekonomi sekarang.

Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, berkata pemotongan itu, telah pun dijangka namun pakar-pakar ekonomi mempunyai pelbagai pandangan mengenai kuantum pengurangan yang diperlukan.

Kejutan bekalan yang ketara biasanya menjejaskan kecairan dalam sistem, oleh itu, pengurangan dalam SRR adalah wajar.

“Walaupun jika kecairan kekal mencukupi buat masa sekarang, kemungkinan berlakunya kejutan yang ketara dalam ekonomi sebenar (akibat wabak COVID-19) menjadikan perlu bagi pembuat dasar untuk bertindak balas lebih awal.

“Kemerosotan kecairan yang mendadak juga akan menyebabkan turun naik dalam pasaran kewangan dan ini akan memberi kesan yang mendalam terhadap perniagaan serta pengguna. Akhirnya, ekonomi sebenar akan terjejas. Itulah sebabnya, langkah ini baik pada masa sekarang,” katanya kepada Bernama.

Sejak 2019, SRR telah dikurangkan sebanyak 150 mata asas.

Semasa kegawatan ekonomi 2009, ia telah dipotong sebanyak 1.0 peratus.

Melangkah ke hadapan, lebih banyak langkah fiskal kewangan bakal diumumkan jika krisis yang berpunca daripada COVID-19 ini berpanjangan.

“Ini disebabkan, kali ini, ekonomi global turut terjejas secara serentak dan oleh itu, ia mungkin akan memberi kesan material terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata BNM telah membuat satu langkah yang mantap dengan mengambil kira kedudukan kecairan pada masa akan datang, memberikan bank dengan mudah tunai yang mencukupi supaya tidak ada tekanan kecairan di pasaran.

“BNM sentiasa memantau sistem kewangan perbankan untuk menyokong keperluan industri. Kita bukan berada dalam situasi normal. Dalam keadaan yang mencabar ini, bank pusat perlu menjadi proaktif bagi kekal di hadapan keluk.

“Lebih-lebih lagi, secara global, kita sedang menuju ke arah rejim kadar faedah yang lebih rendah. Tahun lalu, sejumlah 47 bank pusat menurunkan kadar faedah mereka. Tahun ini, 12 bank pusat di seluruh dunia telah mengurangkan kadar faedah seperti UK, Filipina, Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada,” katanya.

Berdasarkan trend dalam pasaran kewangan global, beberapa bank pusat telah menyediakan kecairan kepada sistem perbankan sejak September 2019 hingga 17 Mac 2020, termasuk Rizab Persekutuan AS (AS$7.7 trilion), Bank of Japan (AS$3.2 trilion) dan Bank Pusat Eropah (AS$4.7 trilion).

“Dasar kewangan yang berhemat dan kecairan yang berkesan akan menunjang sektor perbankan ke hadapan. Kita tidak akan terkejut jika BNM merendahkan OPR kepada 2.0 peratus bagi menyokong prospek KDNK bagi tahun ini. Ringgit akan mengikuti pergerakan yuan dan minyak untuk menentukan nilai pasaran saksamanya,” kata beliau lagi. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X