Selasa, 24 March 2020 | 10:56am
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva - Foto AFP
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva - Foto AFP

Kemelesetan ekonomi 2020 lebih buruk dari 2008 - IMF

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik COVID-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020, yang kesannya lebih buruk daripada krisis kewangan melanda pada 2008.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata prospek pertumbuhan adalah negatif, namun unjuran pertumbuhan ekonomi global itu dijangka pulih pada 2021.

Georgieva berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan fiskal luar biasa yang telah diambil oleh banyak negara untuk meningkatkan sistem kesihatan dan melindungi syarikat serta pekerja yang terbabit.

Katanya, begitu juga dengan langkah-langkah yang diambil oleh bank pusat untuk mengurangkan dasar monetari.

“Lebih banyak lagi diperlukan, terutamanya dari segi fiskal,” katanya.

Georgieva mengeluarkan jangkaan baharu itu selepas persidangan menteri kewangan dan bank pusat dari kumpulan 20 ekonomi terbesar di dunia.

Beliau berkata, persidangan itu bersetuju mengenai keperluan untuk solidariti di seluruh dunia.

“Kos manusia dari pandemik COVID-19 sudah tidak dapat diukur dan semua negara perlu bekerjasama untuk melindungi rakyat dan membatasi kerosakan ekonomi,” katanya.

Awal bulan ini, Georgieva memberi amaran pertumbuhan dunia pada 2020 akan berada di bawah kadar 2.9 peratus, tetapi tidak meramalkan kemelesetan.

Perang perdagangan antara AS dan China mendorong pertumbuhan global tahun lepas kepada kadar terendah sejak penguncupan 0.7 peratus pada 2009.

Georgieva berkata, pemulihan dijangka pada 2021, tetapi untuk mencapai itu negara perlu mengutamakan penahanan dan menguatkan sistem kesihatan.

“Kesan ekonomi teruk dan akan menjadi lebih teruk. Tetapi jika penularan virus itu cepat terhenti, pemulihan akan lebih pantas dan lebih kuat,” katanya.

Georgieva berkata, IMF akan meningkatkan pembiayaan kecemasan dalam skala yang besar, dengan 80 buah negara sudah meminta pertolongan dan IMF bersedia untuk menggunakan semua kapasiti pinjamannya sebanyak AS$1 trilion (RM4.4 trilion).

Negara ekonomi maju secara amnya lebih produktif dalam menangani krisis, tetapi banyak pasaran baru muncul dan negara berpendapatan rendah menghadapi cabaran yang signifikan, termasuk aliran keluar modal.

Katanya, pelabur telah membawa keluar AS$83 bilion (RM368 bilion) daripada pasaran baru muncul sejak permulaan krisis, aliran keluar modal terbesar yang pernah dicatatkan. - Reuters


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X