Khamis, 26 March 2020 | 6:00pm
Beberapa buah pesawat milik Malaysia Airlines Bhd (MAB), Malindo Air dan AirAsia berada di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Dua (KLIA2).- Bernama (2020) Hak Cipta Terpelihara
Beberapa buah pesawat milik Malaysia Airlines Bhd (MAB), Malindo Air dan AirAsia berada di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Dua (KLIA2).- Bernama (2020) Hak Cipta Terpelihara

COVID-19: Pakej menyelamat syarikat penerbangan mungkin diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneroka kemungkinan memperkenalkan pakej menyelamat untuk syarikat penerbangan domestik yang terjejas teruk dengan COVID-19.

Menurut sumber rapat dengan perkara itu, pegawai kerajaan sedang mengkaji cadangan termasuk menubuhkan unit yang akan mengambilalih hutang syarikat seperti Malaysia Airlines Bhd dan AirAsia Group Bhd.

Kerajaan juga sedang menimbang untuk menggalakkan penggabungan antara beberapa syarikat, kata sumber yang enggan identitinya didedahkan kerana maklumat itu sulit.

Mereka juga membincangkan untuk menyediakan sokongan kewangan kepada sektor ekonomi lain yang terjejas seperti pelancongan, hartanah serta minyak dan gas, kata sumber.

Perbincangan itu masih di peringkat awal dan kerajaan belum memutuskan sebarang tindakan, katanya.

Malaysia Airlines secara berasingan sudah berbincang dengan pemberi pinjaman untuk menstruktur pinjamannya, kata sumber itu.

Menurut sumber, syarikat penerbangan negara yang masih mencatat kerugian sejak mengumumkan pelan pemulihannya pada 2015, meminta sokongan daripada kerajaan.

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), adalah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines selepas diswastakan pada 2014 berikutan dua kejadian tragik membabitkan pesawat hilang di Lautan Hindi dan sebuah lagi ditembak jatuh di Ukraine.

Malaysia Airlines mengesahkan bahawa ia mengadakan perbincangan dengan kerajaan mengenai langkah kecemasan untuk membantu syarikat itu mampu bertahan.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan menjelaskan ia tidak berbincang dengan kerajaan mengenai penggabungan dengan syarikat penerbangan lain.

Wakil Pejabat Perdana Menteri dan Khazanah enggan mengulas, sementara wakil AirAsia tidak dapat memberi maklum balas segera.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan industri penumpang bakal kehilangan pendapatan AS$252 bilion (RM1.1 trilion) atau empat peratus di bawah angka yang dicatatkan tahun lalu.

Menurut IATA yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan di seluruh dunia, hanya sekitar 30 syarikat memiliki pendapatan potif dan hutang yang baik. - Bloomberg

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X