Khamis, 26 March 2020 | 6:39pm
Gambar fail, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz. - Foto Faiz Anuar
Gambar fail, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz. - Foto Faiz Anuar

COVID-19: Pengusaha stesen minyak mungkin 'gulung tikar'

KUALA LUMPUR: Majoriti pengusaha atau peruncit petrol di seluruh negara berkemungkinan besar terpaksa menghentikan operasi masing-masing akibat tekanan kewangan membabitkan penurunan ketara harga bahan api serta aliran trafik yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata pihak peruncit petrol telah mencatat penurunan jualan produk bahan api yang mencecah 70 peratus.

“Tidak lama lagi ramai yang terpaksa menutup operasi masing-masing, duit sudah tiada dan bergantung kepada sebanyak mana simpanan yang ada. Kami tidak dibenarkan mengambil cuti tanpa gaji manakala kadar (caj) elektrik kami juga kekal sama.

“Kami tidak mendapat sebarang rebat 15 peratus dan akan teruk terjejas. Keadaan pastinya akan lebih sukar,” katanya.

Bagi tempoh 21 hingga 27 Mac, 2020, harga bahan api itu mengalami penyusutan ketara dengan RON97 berharga RM1.74 seliter, turun 36 sen daripada RM2.10 seliter manakala RON95 berharga RM1.44 seliter berbanding RM1.82 seliter minggu sebelumnya dan diesel berkurangan 12 sen kepada RM1.75 seliter.

Situasi itu juga disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak mentah akibat perbalahan antara negara pengeluar bahan itu selain pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global.

Khairul Annual berkata, ada kalangan peruncit petrol yang menyuarakan kebimbangan bahawa mereka tidak lagi mampu membeli bahan api apabila modal kerja sedia ada terus susut.

“Setiap hari kami menjual mengikut harga belian sebelum ini iaitu RM1.82 (seliter) dan kemudiannya harga itu turun kepada RM1.44 iaitu pengurangan sebanyak 38 sen untuk RON95.

“Secara kebetulan jualan pula rendah ketika terpaksa menjual bahan api itu pada paras rugi 38 sen seliter selama seminggu atau lebih.

“Penyusutan harga ini telah berlanjutan selama tiga minggu dan kami telah mengalami kerugian RM40,000 untuk minggu ini sahaja yang mana sebahagian daripada modal kerja kami. Malah, pada akhir bulan, kami perlu membayar gaji pekerja dan bil elektrik antara RM30,000 dan RM70,000 (bergantung kepada saiz stesen minyak) yang juga sebahagian daripada modal kerja,” katanya.

Khairul Annuar berkata pengedar petrol lazimnya mempunyai modal kerja kira-kira RM200,000 dan tidak mampu bertahan dalam keadaan semasa.

Atas alasan itu, PDAM juga sentiasa menekankan kepentingan untuk memperkenalkan harga lantai bahan api serta mewujudkan dana penstabilan bagi membantu kalangan peruncit petrol, katanya.

“Itulah permintaan kami sejak minggu lepas tetapi sebaliknya yang dibimbangkan adalah orang ramai akan marah. Pada pandangan saya, (harga) tidak boleh berganjak sedemikian besar dan kedua, harga itu sememangnya sudah rendah. Saya tidak pasti jika harga yang terlalu rendah itu pada akhirnya akan memberi manfaat untuk rakyat.

“Oleh itu, sewajarnya harga lantai itu perlu ditetapkan. Jika terdapat sebarang lebihan pun, kutipan itu boleh dilakukan oleh kerajaan menerusi dana penstabilan yang dapat dimanfaatkan bagi tujuan (skim) subsidi apabila harga melonjak melangkaui paras siling. Dana penstabilan itu adalah satu mekanisme yang baik,” katanya. - Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X