Khamis, 26 March 2020 | 6:44pm
Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass.
Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass.

COVID-19: Stabilkan ekonomi dahulu sebelum stabilkan pasaran

KUALA LUMPUR: Langkah menstabilkan ekonomi negara lebih penting berbanding usaha menstabilkan pasaran memandangkan dengan stabilnya ekonomi domestik, ia kemudiannya akan menstabilkan pasaran, demikian kata Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass.

Justeru, beliau berkata, langkah rangsangan oleh kerajaan berperanan penting dalam menyediakan bantuan yang amat diperlukan kepada ekonomi, perniagaan dan pekerja yang terjejas oleh penularan pantas pandemik COVID-19.

“Rangsangan fiskal berperanan lebih besar berbanding langkah monetari. Strategi kita fokus kepada keperluan untuk menstabilkan ekonomi domestik, yang mana kemudiannya menstabilkan pasaran,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Anthony juga berpendapat, Pakej Rangsangan 2 (SP2) perlu lebih hebat berbanding Pakej Rangsangan 1 (SP1) berjumlah RM20 bilion dari segi capaian meluas kumpulan sasaran dan merentasi pelbagai aktiviti ekonomi yang lebih luas.

Beliau berkata, pakej rangsangan itu mesti menangani enam isu strategik: mengurangkan pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan; meringankan beban ekonomi rakyat terutama segmen yang terjejas; menyokong sektor swasta; mengusahakan pembinaan kapasiti untuk masa depan; menyokong syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS); dan menyokong aktiviti perniagaan tidak formal dan mereka yang bekerja di sektor berkenaan.

“Tumpuan juga harus diberikan kepada sektor pengangkutan memandangkan urbanisasi yang semakin meningkat, pelancongan, inisiatif hijau, pendidikan, kesihatan, sektor halal, membangunkan teknologi baharu terutama bioteknologi, dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dengan penekanan kepada pendidikan tinggi swasta,” katanya.

Dass juga mencadangkan kerajaan perlu melihat kepada “penciptaan wang” menerusi cetakan wang untuk membiayai defisit belanjawan susulan fleksibiliti terhad dalam dasar fiskal.

Beliau berkata, penciptaan wang itu dilihat sebagai instrumen yang berguna memandangkan kerajaan dapat menggerakkan sumber untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan membiayai defisit belanjawan.

“Ia akan membolehkan kerajaan membelanjakan sebanyak mana yang mereka mahu dengan matlamat untuk menyokong ekonomi kepada kapasiti penuhnya, meningkatkan aktiviti sektor swasta, mengurangkan pengangguran dan membiayai program utama seperti pembinaan/infrastruktur, penjagaan kesihatan dan inisiatif hijau.

“Jika perbelanjaan kerajaan mewujudkan defisit, ia bukan masalah yang serius. Ia adalah defisit kerajaan dengan definisi lebihan kepada sektor swasta. Tidak ada risiko nyata terhadap penyusutan nilai mata wang atau huru hara ekonomi atau meningkatkan inflasi,” katanya.

Dass berkata, mengikut penilaian AmBank Research, peningkatan 1.0 peratus dalam penawaran wang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.5 peratus.

Pada masa yang sama, langkah itu akan menyokong mata wang tempatan dengan peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sementara inflasi dijangka meningkat sebanyak 0.25 peratus, jelasnya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X