Jumaat, 27 March 2020 | 1:47pm
Perjalanan udara terkesan teruk oleh penularan COVID-19 di seluruh dunia - NSTP/Aizuddin Saad
Perjalanan udara terkesan teruk oleh penularan COVID-19 di seluruh dunia - NSTP/Aizuddin Saad

COVID-19: Trafik penumpang udara diunjur merosot 38 peratus

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menurunkan unjuran pertumbuhan trafik penumpang antara 68 juta hingga 70 juta penumpang tahun ini, seiring dengan permintaan yang terjejas ketika COVID-19.

Ia penguncupan antara 36.2 peratus dan 38.1 peratus tahun ke tahun, berbanding unjuran awal pertumbuhan antara 4.6 peratus dan 5.7 peratus untuk 2020.

Pada 2019, trafik penumpang Malaysia mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah iaitu mencecah 109.2 juta penumpang.

Unjuran yang disemak semula itu, kata MAVCOM, adalah mengambil kira pembatalan penerbangan sedia ada oleh syarikat penerbangan Malaysia dan asing berjumlah 14 juta tempat duduk bagi tempoh antara Januari dan Disember 2020, selain pengurangan tempat duduk tambahan sebanyak 15 peratus untuk laluan domestik dan 20 peratus untuk laluan antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata industri penerbangan paling teruk menerima impak COVID-19 kerana perjalanan hampir terhenti, memaksa syarikat penerbangan menggantung operasi, meletakkan mereka dalam keadaan kewangan yang serius.

“Laporan kami mencatatkan gambaran suram,” katanya dalam laporan industri edisi keenamnya, Waypoint.

Menurut laporan itu, syarikat penerbangan Malaysia terus mengurangkan kapasiti tempat duduk tahun ini sebagai tindak balas kepada permintaan perjalanan udara yang rendah dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara-negara di seluruh dunia.

Nungsari berkata, 7.3 juta tempat duduk telah dibatalkan pada 26 Mac, mewakili 8.6 peratus daripada jumlah kapasiti tempat duduk bagi syarikat penerbangan Malaysia tahun ini.

Syarikat penerbangan asing yang beroperasi dari dan ke Malaysia juga telah mengurangkan kapasiti tempat duduk sebanyak 6.7 juta (24.5 peratus daripada jumlah kapasiti tempat duduk untuk syarikat penerbangan asing) pada 2020.

Beliau berkata, penurunan itu terus berlaku di Malaysia dan seluruh dunia, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sehingga menjejaskan prospek industri di Malaysia.

“Oleh itu, MAVCOM akan terus memantau perkembangan industri dan melihat penyesuaian terhadap ramalan dengan sewajarnya.

“Sebagai langkah tambahan untuk mengukuhkan daya tahan kewangan industri dalam tempoh yang lebih panjang, MAVCOM menggesa kerajaan mempertimbangkan peraturan pemilikan yang longgar untuk syarikat penerbangan bagi membolehkannya lebih mudah mendapatkan dana dari pasaran modal domestik dan antarabangsa,” katanya.

MAVCOM menegaskan, keperluan untuk mematuhi peruntukan kawalan penggabungan yang terkandung di dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 akan menjadi langkah ke arah penggabungan industri, untuk memastikan kepentingan industri dan pengguna tetap terjaga.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X