X
Jumaat, 27 March 2020 | 6:12pm
Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia

Dana BNM untuk PKS ditambah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menambah baik kemudahan pembiayaan sedia ada di bawah Dana BNM untuk PKS dan meningkatkan peruntukan sebanyak RM4 bilion kepada RM13.1 bilion.

Penambahbaikan disasar untuk menyediakan bantuan kepada lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan operasi perniagaan dan melindungi pekerjaan, selain menyokong pertumbuhan ekonomi.

BNM dalam kenyataannya berkata, penambahbaikan antara lain membabitkan kenaikan peruntukan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion, bagi menyediakan bantuan kepada lebih banyak PKS yang terkesan oleh penularan COVID-19.

“Kadar pembiayaan maksimum kini diturunkan daripada 3.75 peratus setahun kepada 3.50 peratus setahun. SRF yang ditambah baik ini disediakan sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Bank pusat berkata, ia juga menambah peruntukan dalam Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) daripada RM5.8 bilion kepada RM6.8 bilion, bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk PKS dan meyokong pertumbuhan.

“Kadar pembiayaan maksimum juga diturunkan daripada 8.0 peratus setahun kepada 7.0 peratus setahun,” katanya.

Selain penambahbaikan itu, BNM berkata, PKS juga boleh memanfaatkan tiga lagi kemudahan di bawah Dana BNM untuk PKS, iaitu Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Enterpris Mikro (MEF).

“PKS yang berminat boleh menghubungi atau menghantar e-mel kepada institusi kewangan yang terbabit (PFI), atau mengunjungi platform rujukan pembiayaan perniagaan di imsme.com.my, untuk memohon pembiayaan ini.

“PFI berkenaan adalah bank-bank komersial, bank-bank Islam dan Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) yang dikawal selia oleh BNM,” katanya.

SRF, AF dan ADF diumumkan sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi pertama pada 27 Februari lalu.

Sejak kemudahan itu disediakan pada 6 Mac lalu, FI telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM119 juta kepada 196 PKS, dengan kadar kelulusan 84 peratus.

Berita Harian X