Jumaat, 27 March 2020 | 9:51pm

PRIHATIN melegakan PKS, usahawan mikro

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan hari ini dilihat sebagai memberi kelegaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro dengan membantu mengurangkan beban aliran tunai mereka menghadapi pandemik COVID-19.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April telah menjejaskan aktiviti jualan mereka dan pendapatan mereka dalam masa terdekat.

“PKP telah menjejaskan aktiviti ekonomi mereka, tetapi ini perlu dilakukan kerana kita perlu memutuskan rantaian COVID-19. Oleh itu, langkah tersebut memberi mereka kelegaan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam menyambut baik langkah kerajaan untuk menyediakan tambahan RM4.5 bilion untuk lima inisiatif utama bagi membantu mereka yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

Ia termasuk Bantuan Kemudahan Khas sebanyak RM3 bilion, Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta serta skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000.

Beliau berkata, PKS dan usahawan mikro akan memilih untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman mereka dengan bank selama enam bulan dan menangguhkan bayaran ansuran cukai pendapatan selama tiga bulan dari 1 April 2020, yang akan membolehkan mereka menyimpan tunai dan menggunakannya untuk memulihkan perniagaan.

Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank Malaysia Bhd (UOB Malaysia) Julia Goh berkata, pakej rangsangan itu dilihat agak meluas walaupun kedudukan fiskal kerajaan terhad.

Beliau berkata, pakej itu akan mencukupi untuk membantu PKS dan usahawan mikro jika pemulihan berlaku pada separuh kedua tahun ini.

“Secara keseluruhannya, langkah-langkah itu menawarkan bantuan, tetapi berdasarkan prospek yang amat tidak menentu, keadaan akan kekal mencabar untuk ekonomi yang luas,” katanya.

-BERNAMA

PRIHATIN bantu PKS kurangkan beban aliran tunai. - Foto BERNAMA
PRIHATIN bantu PKS kurangkan beban aliran tunai. - Foto BERNAMA
Berita Harian X