Selasa, 31 March 2020 | 3:34pm
Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia

Aliran keluar dana jejaskan ringgit

KUALA LUMPUR: Pasaran kewangan domestik pada bulan Februari mengalami aliran keluar bukan pemastautin dalam keadaan aktiviti penghindaran risiko lebih giat berikutan COVID-19 yang semakin memburuk, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu dalam laporan Sorotan Bulanan Februari 2020, berkata kesannya, ringgit menyusut nilai sebanyak 3.3 peratus, sejajar dengan penyusutan semua mata wang serantau antara 3.4 peratus hingga 0.3 peratus.

Katanya, penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI juga merosot sebanyak 3.2 peratus untuk ditutup pada 1,483 mata pada akhir Februari, sejajar dengan pasaran ekuiti serantau.

“Meskipun terdapat aliran keluar bukan pemastautin, kadar hasil pasaran bon domestik menurun. Khususnya, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun turun sebanyak 30.5 mata asas.

“Walaupun pelabur institusi memberikan sokongan, penurunan yang besar ini mencerminkan terutamanya jangkaan terdapat pelonggaran monetari berikutan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan,” katanya.

Mengulas lanjut, BNM berkata, kualiti aset bank-bank kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas bersih keseluruhan terus stabil pada 1.0 peratus.

“Bank-bank terus mempunyai penampan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kerugian kredit dengan jumlah peruntukan (termasuk rizab pengawalseliaan) pada 125.1 peratus daripada jumlah pinjaman terjejas,” katanya.

Pertumbuhan pembiayaan bersih untuk bulan Februari adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak 5.0 peratus, disebabkan oleh pengembangan pinjaman terkumpul yang lebih cepat sebanyak 3.9 peratus.

Pertumbuhan bon korporat terkumpul juga, katanya, meningkat sedikit kepada 8.2 peratus berbanding Januari.

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat pada Februari iaitu sebanyak 3.6 peratus daripada Januari, 2.5 peratus disebabkan terutamanya oleh bayaran balik yang lebih rendah, yang mencerminkan parasnya yang tinggi pada bulan-bulan kebelakangan ini telah kembali ke paras yang normal. Pengeluaran juga pada amnya mampan pada bulan itu.

“Bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul menurun pada bulan Februari, 3.7 peratus daripada Januari, 4.5 peratus kerana pengeluaran yang lebih rendah untuk pinjaman kad kredit, serta sekuriti dan kereta,” katanya.

BNM berkata, inflasi secara keseluruhan menjadi sederhana kepada 1.3 peratus pada Februari berbanding Januari, 1.6 peratus.

Berita Harian X