Selasa, 31 March 2020 | 6:49pm
Tanaman sawit menyumbang kurang daripada satu peratus daripada tanah pertanian global
Tanaman sawit menyumbang kurang daripada satu peratus daripada tanah pertanian global

Minyak sawit sintetik kurang keaslian, vitamin - MPOB

KUALA LUMPUR: Minyak sawit sintetik yang kini dihasilkan oleh syarikat pemula niaga yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kekurangan dari segi keaslian dan vitamin yang terdapat dalam minyak sawit asli, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata minyak sawit versi sintetik itu tidak mengandungi Vitamin A dan E, nilai pemakanan yang kaya dalam minyak sawit asli.

“Bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan minyak sawit versi sintetik itu mungkin juga bukan daripada sumber boleh baharu. Oleh itu, minyak sawit versi sintetik itu tidak boleh ditetapkan harga secara kompetitif.

“Adakah orang ramai akan menggunakan kosmetik dan produk penjagaan kulit daripada sisa minyak dan produk sampingan industri? Mungkin, mereka akan menggunakannya untuk bukan makanan seperti biodiesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Parveez berkata, menjadi persoalan sama ada minyak sawit sintetik itu lebih mesra alam dan mampan berikutan pengeluaran bahan sintetik memerlukan bahan kimia dan mikrob.

“Berapa banyak tenaga dan bahan kimia digunakan dalam proses fermentasi? Bagaimana produk sintetik ini dikatakan lebih mampan berbanding produk asli?” katanya.

Dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa bahawa minyak sawit sintetik yang kini dihasilkan oleh syarikat pemula niaga menggunakan mikrob untuk menukar sisa makanan dan produk sampingan industri kepada minyak sawit sintetik melalui proses fermentasi.

Syarikat pemula niaga itu mendakwa minyak sawit sintetik tersebut boleh menggantikan versi daripada tumbuhan dan usahanya telah menerima pusingan pelaburan ‘siri A’ AS$20 juta daripada Bill Gates’ Breakthrough Energy Ventures Fund yang menyokong syarikat pemula niaga yang inovatif dengan tumpuan kepada inovasi alam sekitar dan kemampanan.

Ahmad Parveez menggesa syarikat itu menjalankan penilaian kitaran hayat yang terperinci sebelum mendakwa langkahnya untuk menghasilkan minyak sawit sintetik adalah berikutan dakwaan minyak sawit adalah pemacu utama kepada penebangan hutan dan antara punca utama perubahan iklim.

Syarikat pemula niaga AS itu turut mendakwa sebanyak 31 juta hektar hutan telah ditebang di seluruh dunia untuk penanaman sawit dalam tempoh 24 tahun (1990-2014).

“Apa yang mereka gagal untuk menyedari atau sengaja mengabaikannya ialah penebangan hutan untuk penanaman tanaman lain yang menghasilkan minyak.

“Satu contoh yang baik ialah berdasarkan rekod Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan untuk tempoh lapan tahun (2010-2018), tambahan kawasan seluas 30.5 juta hektar telah ditanam dengan kacang soya di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, kawasan tanaman sawit menyumbang kurang daripada satu peratus daripada tanah pertanian global kira-kira lima bilion hektar berbanding tanaman bijian minyak lain (lima peratus) dan tanaman lain (23 peratus) manakala ternakan yang terbesar kira-kira 71 peratus.

“Kelapa sawit adalah tanaman paling produktif dengan hasil sebanyak lima hingga sembilan kali lebih tinggi berbanding tanaman bijian minyak yang lain seperti kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan produktivitinya yang tinggi sebanyak empat tan minyak sehektar setahun, minyak sawit adalah produk yang kompetitif dan mampu dimiliki oleh kebanyakan orang di dunia.

Ahmad Parveez berkata, minyak sawit memainkan peranan yang tidak boleh ditukar ganti dalam memastikan keselamatan makanan global dalam industri minyak sayuran dan lemak.

“Oleh itu, saya tertanya-tanya kenapa terdapat begitu banyak serangan ke atas kemampanan minyak sawit sehingga terdapat keperluan untuk menghasilkan produk sintetik bagi menggantikan produk asli.

“Hakikatnya, pada masa ini syarikat itu dapat menghasilkan setengah tan minyak sawit sintetik setahun dan dengan pelaburan baharu mereka menjangka untuk menghasilkan sehingga 50 tan,” katanya.

Beliau berkata, industri sawit Malaysia dalam usaha untuk mencapai 100 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sehingga Mac pada tahun ini, sebanyak 4.65 juta hektar, atau 78.8 peratus, daripada 5.9 juta hektar ladang kelapa sawit di Malaysia mencapai pensijilan MSPO, manakala 394 daripada 452 kilang sawit di negara ini telah berbuat demikian.

-BERNAMA

Berita Harian X