Jumaat, 3 April 2020 | 11:51am
GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Sistem kewangan, ekonomi Malaysia mampu depani kesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mampu menangani impak penularan COVID-19 disokong oleh kepelbagaian asas ekonomi, pengukuhan sistem kewangan dan lebihan akaun semasa yang utuh, demikian kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, meskipun berdepan impak penularan virus itu, masih ada pengukuhan dalam ekonomi negara dan setakat ini COVID-19 belum lagi mengubah pengukuhan berkenaan.

Katanya, ketika ini, pihaknya tidak melihat wujud tekanan terhadap harga, dengan tekanan inflasi dilihat rendah.

“Ekonomi Malaysia sangat pelbagai, sekali gus membolehkan kita berdepan cabaran dengan kedudukan yang lebih baik. Pelaksanaan projek infrastruktur juga akan menyediakan rangsangan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelaksanaan pakej rangsangan besar-besaran oleh kerajaan di dunia juga akan menyokong pertumbuhan global. Saya percaya kita (Malaysia) sudah melakukan yang sepatutnya untuk pulih dengan kukuh. Malaysia pernah melakukannya sebelum ini dan kita boleh melakukannya lagi,” katanya pada sidang media secara langsung menerusi web di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan sempena penerbitan tiga laporan utama BNM, Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 (AR 2019), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 (EMR 2019) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 (FSR 2H 2019).

Nor Shamsiah berkata, BNM akan terus memantau keadaan tidak menentu yang dicetuskan COVID-19 dan bank pusat itu mempunyai ruang untuk memastikan persekitaran kewangan negara yang stabil dan teratur serta mengurangkan tempias kejutan luaran dan tukaran asing.

Beliau berkata, Malaysia perlu melaksanakan pembaharuan untuk pertumbuhan selanjutnya selepas krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19 reda.

Sementara itu, dalam taklimat kepada pengarang media yang diadakan pada Khamis, Nor Shamsiah berkata, BNM menjangkakan impak penularan COVID-19 terhadap ekonomi tidak seteruk impak Krisis Kewangan Asia pada 1997/98.

Beliau berkata, impak Krisis Kewangan Asia adalah paling teruk kerana ia menjejaskan pasaran kewangan, yang mana mencetuskan krisis perbankan.

Katanya, krisis perbankan adalah sukar untuk diuruskan kerana impaknya kepada ekonomi adalah mengambil masa yang lama.

Jelasnya, impak penularan COVID-19 pula mencetuskan krisis kesihatan, yang mana aktiviti ekonomi terjejas oleh gangguan bekalan dan permintaan susulan langkah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan di seluruh dunia.

“Impak krisis kesihatan adalah berjangka pendek. Apabila vaksin ditemui, ekonomi akan pulih dan melonjak semula selepas itu,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, pihaknya mengakui impak terhadap ekonomi negara akan teruk pada separuh pertama 2020 susulan penularan COVID-19.

Namun, katanya, keadaan aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2020 dengan andaian virus berkenaan dapat ditangani.

"Ramai mengunjurkan ekonomi global akan pulih pada 2021 dan ekonomi Malaysia juga akan menjejakinya," katanya.

Berita Harian X