Jumaat, 3 April 2020 | 12:11pm
FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

COVID-19: PKS perlu manfaat Tabung BNM untuk PKS - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disarankan memanfaatkan sepenuhnya Tabung Bank Negara Malaysia (BNM) untuk PKS bagi memantapkan perniagaan mereka dalam berdepan impak COVID-19.

Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata sememangnya tidak dinafikan akan ada PKS yang terjejas berikutan impak penularan COVID-19 yang mencetuskan kejutan bekalan dan permintaan global dan domestik.

Namun, beliau berkata, bagi PKS yang sudah melaksanakan pendigitalan dan mempunyai platform elektronik, impak terhadap perniagaan mereka tidak seteruk mereka yang masih menjalankan perniagaan secara konvensional.

Dari segi pembiayaan, jelasnya, bank mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai PKS.

“Justeru, PKS yang berdepan masalah perlu tampil ke depan kerana amat sukar untuk kami menangani isu ini sekiranya ia terlalu umum. Kami perlu melihat kepada setiap kes bagi membantu mereka (PKS)," katanya pada taklimat bersama pengarang media pada Khamis.

Taklimat itu diadakan sempena penerbitan tiga laporan utama BNM iaitu Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 (AR 2019), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 (EMR 2019) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 (FSR 2H 2019).

BNM memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM3.3 bilion di bawah Tabung BNM untuk PKS bagi membantu perniagaan serta isi rumah yang terjejas berikutan penularan COVID-19.

Kemudahan pembiayaan itu merangkumi tiga jenis iaitu Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion; Kemudahan Agromakanan (AF) dengan jumlah RM1 bilion; serta Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) sebanyak RM300 juta.

PKS berminat boleh memohon terus daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian merangkumi bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh bank pusat.

Sementara institusi kewangan yang mengambil bahagian boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) bagi kemudahan pembiayaan berkenaan.

Berita Harian X