Jumaat, 3 April 2020 | 12:12pm
BANK Negara Malaysia (BNM)
BANK Negara Malaysia (BNM)

Dasar kewangan tahun ini tumpu usaha sokong ekonomi negara - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Dasar monetari pada tahun 2020 akan memberikan tumpuan pada usaha menyediakan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri dalam persekitaran tekanan harga yang lemah.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2019, berkata berikutan peningkatan risiko yang ketara kepada prospek pertumbuhan sejak akhir tahun 2019, terutamanya berpunca daripada pandemik COVID-19, kadar dasar semalaman (OPR) telah dikurangkan pada bulan Januari dan Mac 2020 dengan jumlah 50 mata asas kepada 2.50 peratus.

Katanya, kedua-dua pelarasan itu bertujuan menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan inflasi yang rendah.

“Pertimbangan dasar monetari pada masa hadapan akan terus berpandukan imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi yang sentiasa berubah-ubah,” kata laporan itu yang disiarkan bersama dua lagi laporan rasmi lain iaitu Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.

Sementara itu bank pusat berkata, operasi monetari Bank akan terus memastikan mudah tunai domestik dalam sistem kewangan kekal mencukupi bagi menyokong fungsi pasaran kewangan domestik yang teratur.

“Pada masa ini, penurunan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement,SRR) sebanyak 100 mata asas kepada 2.00 peratus pada bulan Mac 2020 dan fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama dengan mengiktiraf MGS dan MGII sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR, telah menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM30 bilion ke dalam sistem perbankan,” kata laporan itu hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X