Jumaat, 3 April 2020 | 1:01pm
Gambar fail, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - Foto Asyraf Hamzah

Rizab antarabangsa untuk tampan kejutan tukaran asing. - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa digunakan sebagai penampan terhadap kejutan dalam pasaran tukaran asing, demikian kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, lazimnya rizab antarabangsa dikumpul ketika aliran masuk sementara ia akan digunakan untuk menguruskan aliran keluar apabila pelabur menjual ringgit untuk mendapatkan mata wang asing lain.

Justeru, katanya, dalam tempoh kritikal, adalah perlu bagi memastikan rizab antarabangsa kekal mencukupi dalam berdepan kejutan luaran dan tukaran asing dan mengelakkan negara terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku di Thailand, yang mana ia kekurangan rizab yang menyebabkan berlakunya Krisis Kewangan Asia pada 1997/98.

“Rizab dikumpul ketika aliran masuk seperti pelaburan langsung asing (FDI), pembelian bon dan ekuiti oleh pelabur asing dan pengeksport mengembalikan keuntungan ke dalam negara.

“Rizab juga digunakan untuk menguruskan pengaliran keluar dana,” katanya bagi mengulas mengenai kegunaan rizab antarabangsa pada taklimat pengarang media di sini, pada Khamis.

Taklimat itu diadakan sempena penerbitan tiga laporan utama BNM, iaitu Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 (AR 2019), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 (EMR 2019) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 (FSR 2H 2019).

Nor Shamsiah berkata, adalah perlu bagi memastikan pasaran tukaran asing yang teratur dan kedudukan rizab yang mencukupi.

Beliau berkata, tukaran asing yang fleksibel juga menjamin persekitaran kewangan yang stabil dan teratur dan menjadi penampan kepada sebarang kejutan dalam pasaran tukaran asing.

Berita Harian X