Jumaat, 3 April 2020 | 1:19pm
FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

COVID-19: Pasaran pekerjaan dijangka terjejas tahun ini - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Pasaran pekerjaan dijangka lemah tahun ini berikutan impak penularan pandemik COVID-19, demikian kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 4.0 peratus tahun ini berbanding 3.7 peratus yang dicatatkan ketika krisis kewangan global.

Katanya, pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan akan membantu pekerja dan isi rumah dalam berdepan situasi kritikal yang dicetuskan pandemik COVID-19.

Malah, jelasnya, pakej rangsangan yang disediakan itu juga adalah untuk mengelak impak kekal dan perniagaan dan aktiviti ekonomi dapat pulih dengan pantas sebaik saja virus itu dapat ditangani.

“Pakej rangsangan direka untuk membantu pekerja dan isi rumah serta perniagaan untuk berdepan tempoh mencabar ini. Sebaik saja COVID-19 dapat ditangani, perniagaan dapat berniaga semula dengan pantas dan dengan pantas mereka mengambil pekerja,” katanya pada sidang media secara langsung menerusi web di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan sempena penerbitan tiga laporan utama BNM, iaitu Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 (AR 2019), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 (EMR 2019) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 (FSR 2H 2019).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X