Selasa, 7 April 2020 | 3:52pm
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Usahawan digalak promosi produk secara dalam talian

KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menggalakkan usahawan mikro dan kecil di Malaysia untuk terus mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, berkata sokongan kepada komuniti usahawan mikro dan kecil daripada MDEC bukan hanya membabitkan kumpulan yang terbabit dalam program kelolaan agensi itu.

“Setiap lapisan masyarakat juga boleh memanfaatkan portal yang disediakan untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu perniagaan.

“Misalnya, portal https://www.go-ecommerce.my/ telah membantu seramai 183,290 usahawan digital untuk mempelajari kemahiran e-dagang yang sentiasa dikemas kini dengan maklumat semasa,” katanya.

Katanya, portal itu juga sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan digital.

Surina berkata portal turut digunakan dalam inisiatif Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), pusat sehenti yang menyediakan bantuan latihan dan khidmat nasihat kepada penduduk setempat untuk memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan mereka.

“Program PeDAS ini dilaksanakan di Pusat Internet Desa (PID) di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),” katanya.

Susulan PKP, MDEC telah menyediakan senarai perkhidmatan e-dagang untuk kemudahan rakyat Malaysia di laman webnya.

Baru-baru ini, MDEC telah melancarkan Gerakan #DigitalvsCovid dengan sokongan KKMM untuk menggalakkan rakyat memanfaatkan peralatan dan perkhidmatan digital yang sedia ada bagi menangani impak COVID-19 kepada masyarakat dan ekonomi.

-BERNAMA

Berita Harian X