Rabu, 8 April 2020 | 6:36pm

Bank lulus RM682 juta pembiayaan Tabung BNM PKS: ABM

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan sudah meluluskan kira-kira 1,300 permohonan di bawah Tabung Bank Negara Malaysia (BNM) untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM682 juta setakat 2 April lalu.

Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata, ia adalah tambahan kepada pembiayaan lain yang disediakan kepada PKS oleh skim pembiayaan bank sendiri, yang mana bagi dua bulan pertama, bank sudah mengagihkan RM42 bilion pembiayaan kepada PKS.

Ia berkata, PKS berperanan penting dalam ekonomi Malaysia dan menjadi tulang belakang pembangunan perindustrian negara ini.

“Sebagai penyedia pinjaman, ahli kami menyedari kepentingan perniagaan berterusan bagi segmen ini dan bersedia untuk membantu dan menyediakan akses kepada pembiayaan bagi peminjam PKS yang layak," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 27 Mac lalu, BNM berkata, ia meningkatkan peruntukan kepada Tabung BNM untuk PKS sebanyak RM4.0 bilion, sekali gus menjadikan jumlah peruntukan kepada RM13.1 bilion bagi membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan mereka dan melindungi pekerjaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi dalam berdepan impak COVID-19.

ABM berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anggotanya masih memproses permohonan pinjaman dan ia mungkin mengambil tempoh proses yang lama sedikit untuk permohonan pinjaman.

Ia berkata, PKS juga boleh berhubung dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menerusi portal imSME.com.my untuk meninjau pelbagai inisiatif pembiayaan yang ditawarkan kepada PKS.

imSME adalah platform rujukan Pembiayaan/Pinjaman PKS Malaysia yang disediakan CGC.

Platform itu memadankan keperluan pembiayaan usahawan atau PKS kepada pembiayaan/pinjaman yang sesuai, ditawarkan oleh bank yang menyertainya.

ABM berkata, PKS yang mana permohonan pinjaman tidak diluluskan dinasihatkan mendapatkan panduan dan bantuan daripada Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP).

Ia berkata, MyKNP adalah inisiatif BNM untuk membantu individu dan PKS bagaimana untuk memperbaiki kelayakan mereka untuk pembiayaan.

PKS juga dinasihatkan untuk mempertimbangkan sumber alternatif pembiayaan seperti skim Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) yang diuruskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

MyCIF menawarkan dana menerusi pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

Berita Harian X