X
Khamis, 9 April 2020 | 5:56pm
GHL Systems Bhd (GHL Systems).
GHL Systems Bhd (GHL Systems).

GHL, Takaful IKHLAS, Senang tawar pinjaman mikro PKS

KUALA LUMPUR: GHL Systems Bhd (GHL Systems) bekerjasama dengan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS) dan Senangnvs Sdn Bhd (Senang) untuk menawarkan perkhidmatan pembiayaan mikro kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro.

Ia berkata, perkhidmatan yang ditawarkan adalah bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh PKS dan usahawan mikro semasa wabak COVID-19 dan sekatan pergerakan.

"Perkhidmatan nilai tambah ini akan meliputi pelbagai produk kewangan daripada insurans mikro, pemberian pinjaman mikro kepada pengurusan kekayaan mikro," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GHL Systems, Danny Leong, berkata memanfaatkan penyediaan perlindungan kewangan oleh Takaful IKHLAS dan digandingkan dengan automasi digital oleh Senang, secara bersama, ketiga-tiga pihak itu bersedia untuk memainkan peranan dalam membantu usahawan dan usahawan mikro untuk mengharungi cabaran ekonomi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Eddy Azly Abidin, berkata platform digital memainkan peranan penting dalam memastikan urus niaga perniagaan dapat dilaksanakan dengan lancar dalam persekitaran pandemik COVID-19.

"Oleh itu, perkongsian dengan GHL Systems dan Senang adalah tepat pada masanya dan kami berharap untuk menyediakan penyelesaian takaful yang inovatif dan komprehensif kepada PKS, terutamanya dalam waktu yang mencabar ini," katanya.

Pengasas Bersama Senang, Sharian Raj, berkata perkongsian dengan GHL adalah etos daripada model impak keuntungan syarikat itu untuk menjadikan ia berdaya maju secara komersial untuk korporat di samping meningkatkan kedudukan kewangan PKS dan usahawan mikro di Malaysia.- Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X