Selasa, 14 April 2020 | 4:25pm
Lembaga Tabung Haji (TH)
Lembaga Tabung Haji (TH)

TH kecualikan sewa dua bulan kepada PKS terjejas

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan melaksanakan inisiatif pengecualian bayaran sewa selama dua bulan kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata pengecualian bayaran sewa ini diberikan kepada kira-kira 170 PKS yang menyewa di 60 premis bangunan milik TH di seluruh negara.

Beliau berkata, insentif ini diberi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para peniaga premis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Perniagaan dan penyewa yang diberikan pengecualian bayaran sewa adalah seperti kedai menjual pakaian, elektrik dan elektronik, syarikat konsultasi, telekomunikasi, ejen pelancongan, perniagaan runcit, percetakan dan syarikat penyelenggaraan dan pembaikan.

“Inisiatif ini secara tidak langsung akan dapat meringankan beban yang ditanggung pengendali premis, yang terkesan akibat ketidakmampuan untuk meneruskan perniagaan berikutan PKP bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, TH percaya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan akan terus menyokong usaha kerajaan memastikan sektor PKS terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini.

-BERNAMA

Berita Harian X