Selasa, 14 April 2020 | 8:12pm
Sektor pembinaan diberi kebenaran untuk beroperasi semasa PKP
Sektor pembinaan diberi kebenaran untuk beroperasi semasa PKP

MBAM, REHDA pastikan keselamatan di tapak pembinaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan keselamatan di tempat kerja dan mencegah penularan COVID-19.

Dalam kenyataan bersama oleh Presiden MBAM, Foo Chek Lee dan Presiden REHDA Malaysia, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar masalah ahli mereka agar industri ini beroperasi semula.

Katanya, ini dengan mematuhi pelaksanaan Prosedur Operasi Tapak (SOP) yang ketat untuk mencegah pandemik tersebut daripada merebak di tapak pembinaan.

“Kami memahami pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah berusaha untuk mengemukakan langkah bagi mengurangkan impak daripada COVID-19 dan telah memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada pelbagai cadangan kami seperti isu pekerja asing, aliran tunai, SOP kontraktor dan pemaju dan sebagainya semasa tempoh mencabar ini.

“Walaupun terdapat masalah awal, kami yakin jika semua orang memainkan peranan mereka, kita akan dapat mengatasi cabaran untuk mengurangkan impak kepada industri dan ekonomi Malaysia," katanya.

Mereka berkata, penularan COVID-19 global yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah mengubah landskap perniagaan di seluruh dunia, industri pembinaan dan pembangunan hartanah Malaysia tidak terkecuali.

“Pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini untuk membenarkan beberapa aktiviti pembinaan semasa Fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan membantu industri dan 140 industri huluan dan hiliran yang berkaitan,” katanya.

Katanya, ini positif kepada pemaju dan kontraktor termasuk pembekal bahan binaan dan peralatan, pengeluar, golongan profesional dan ramai lagi dalam rantaian bekalan.

Mereka berkata, diharap kerajaan akan terus menyokong industri pembinaan dan perumahan dengan sesi rundingan berkala dan dialog yang berterusan yang akan membantu menyakinkan pemaju perumahan dan syarikat pembinaan mengenai pelan pemulihan kerajaan untuk industri apabila krisis ini selesai.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan akan melihat secara positif kepada permintaan kami untuk insentif seterusnya dalam mana-mana pakej rangsangan kerajaan selepas PKP,” katanya.

Katanya, industri itu adalah penyumbang penting kepada ekonomi negara, menggaji kira-kira 1.4 juta pekerja dan membayar gaji kira-kira RM40 bilion setahun.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X