Ahad, 19 April 2020 | 1:57pm
Malaysia adalah pengeluar sarung tangan getah utama dunia
Malaysia adalah pengeluar sarung tangan getah utama dunia

Malaysia kuasai 65 peratus sarung tangan getah dunia

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli ekonomi mengunjurkan Malaysia bakal menguasai 65 peratus bahagian pasaran sarung tangan getah dunia tahun ini meningkat tiga peratus daripada 62 peratus sekarang, kata Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Ini berikutan jangkaan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan susulan penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia, katanya.

Zairossani berkata, dari segi impaknya kepada pendapatan negara, kenaikan tiga peratus itu berjumlah RM3 bilion namun ia turut bergantung pada situasi COVID-19.

“Jika kita lihat industri getah terutama sektor sarung tangan, memang berkembang sejak tahun 1980-an di Malaysia.

“Ia berpunca kerana penyakit juga, iaitu HIV (Human Immunodeficiency Virus), virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan penyakiy AIDS (sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit).

“Daripada situlah sektor sarung tangan getah di Malaysia berkembang sehingga kini kita adalah pengeluar terbesar di dunia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara kelolaan Bernama TV, yang membincangkan mengenai tajuk ‘COVID-19: Kesan Kepada Industri Getah dan Hala Tuju Seterusnya’.

Zairossani berkata, apabila berdepan dengan sebarang pandemik, industri getah serta sektor yang berkaitan penjagaan perubatan adalah antara sektor yang akan mendapat manfaat, terutama sektor sarung tangan.

“Selain sarung tangan, kita ada juga menghasilkan kateter iaitu alat untuk pembedahan (yang memerlukan gantian getah),” katanya.

Menurutnya lagi, apabila industri getah Malaysia berdepan dengan situasi harga rendah, sektor sarung tanganlah yang menjadi penyelamat dengan sektor tersebut dijangkakan berkembang lima hingga 25 peratus, bergantung pada situasi COVID-19.

Pada 2019, sektor sarung tangan getah menyumbang RM17 bilion kepada pendapatan negara justeru Malaysia perlu memastikan industri ini kekal menjadi peneraju pasaran dunia, katanya.

Berkenaan harga getah yang rendah, Zairossani berkata fungsi kawalan harga getah bukan di bawah LGM, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ataupun mana-mana agensi yang terbabit namun ia dikawal oleh pasaran dunia.

“Secara umumnya kalau kita lihat sejarah industri getah, ia akan turun naik, ini adalah kitarannya, dan jika waktu ketika ini, tahun 2020/21, ia berada dalam kitaran rendah,” katanya.

Harga getah yang jatuh merudum daripada RM3.00 sekilogram beberapa tahun lepas kepada RM1.70 sekilogram ketika ini telah memberikan kesulitan kepada penoreh dan pekebun kecil.

Menurut Zairossani, ramai berpendapat bahawa industri getah adalah ‘sunset industry’ yang tidak akan kekal lama sama ada di bahagian huluan mahupun hiliran, tetapi tidak dapat disangkal bahawa sumbangan getah kepada eksport negara tetap meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, sejak tahun 1990 sehingga sekarang, industri getah kita berkembang lima hingga enam peratus setahun, dan ia adalah antara industri yang paling cepat berkembang di Malaysia.

“Jika kita lihat dari segi pengagihan kepada ekonomi negara, pada 1990 eksport kita adalah RM1.3 bilion dan eksport kita kini adalah RM31 bilion,” katanya.

Di peringkat global, beliau berkata, Malaysia hanya menguasai tiga peratus daripada nilai industri getah dunia dan berpendapat banyak lagi peluang untuk industri itu berkembang.

“Jadi untuk itu, kita harus pastikan pembangunan yang strategik dan industri getah serta pekebun kecil tidak boleh lagi bertindak menghasilkan getah cara seperti 20 hingga 30 tahun lalu,” katanya.

Zairossani berkata, memandangkan tanah yang terhad pekebun kecil negara digesa untuk menggunakan teknologi kerana ia adalah cara yang paling baik untuk meningkatkan pengeluaran.

“Apabila kita tingkatkan pengeluaran, dan kualiti yang kita hendakkan, bukan sahaja pekebun kecil akan dapat faedah dari pendapatan yang meningkat, tetapi yang penting sekali produk getah yang kita hasilkan dapat menyokong keseluruhan industri kita.

“Saya yakin serta berpandangan jauh bahawa Malaysia ada masa depan yang cerah dalam industri getah,” katanya.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X