Isnin, 20 April 2020 | 11:44am
Gambar hiasan: Ibu pejabat PNB di Kuala Lumpur.
Gambar hiasan: Ibu pejabat PNB di Kuala Lumpur.

PNB perkenalkan pengeluaran online ASB

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan kemudahan pengeluaran pelaburan secara dalam talian untuk tabung unit amanah terpilih di bawah pengurusannya menerusi portal myASNB bermula hari ini.

Anak syarikat pengurusan unit amanah Permodalan Nasional Bhd (PNB), dalam kenyataan berkata, kemudahan itu bertujuan memberi lebih fleksibiliti kepada pelabur dalam pengurusan pelaburan masing-masing.

Katanya, pada masa yang sama, inisiatif itu dapat memastikan pelabur kekal fokus terhadap objektif pelaburan, khususnya bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa dan jangka panjang.

“Ini selaras dengan komitmen ASNB untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelabur, terutamanya dalam memastikan keperluan kewangan pelabur dapat dipenuhi pada setiap masa,” katanya.

Menerusi kemudahan pengeluaran itu, pemegang unit boleh mengeluarkan wang pelaburan dari mana-mana akaun unit amanah ASNB kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5.

Jumlah yang dipohon seterusnya akan dipindahkan ke akaun bank pelabur yang didaftarkan di myASNB pada hari bekerja yang berikutnya.

Waktu pengeluaran dibenarkan adalah mengikut waktu operasi sedia ada portal myASNB adalah Unit Amanah Harga Tetap (7:00 pagi - 6:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum); Unit Amanah Harga Berubah (7:00 pagi - 4:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum)

Menurut kenyataan itu, pemegang unit dibenarkan membuat pengeluaran dengan jumlah minimum sebanyak RM100 bagi setiap transaksi.

Katanya, bagaimanapun, kemudahan pengeluaran menerusi myASNB itu dihadkan kepada tiga kali transaksi setiap bulan dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur.

“Kemudahan pengeluaran dalam talian ini juga akan ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih myASNB bermula 27 April 2020,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, para pemegang unit boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899.

Berita Harian X