Isnin, 20 April 2020 | 12:54pm
Pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih
Pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih

Langkah tepat kerajaan elak krisis pengangguran

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah melaksanakan perancangan sewajarnya bagi mengelakkan kadar pengangguran keterlaluan yang boleh mengheret negara kepada krisis jika penularan COVID-19 mengambil masa lebih lama untuk dikawal, kata ahli ekonomi.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), terutama Pakej PRIHATIN PKS Tambahan yang tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara dasarnya adalah bermatlamat mengurangkan kadar pengangguran.

“Terdapat (elemen) subsidi upah di dalam pakej rangsangan. Namun, jika kes positif COVID-19 direkodkan setiap hari hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan, kadar pengangguran itu boleh menjadi satu ancaman kepada kita,” katanya kepada BH.

Data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran pada Februari 2020 meningkat kepada 3.3 peratus berbanding 3.2 peratus pada Januari 2020.

Namun, kadar pengangguran pada bulan berkenaan masih tidak dipengaruhi oleh kejutan dalaman yang disebabkan oleh penularan COVID-19.

Sebaliknya, COVID-19 dijangka mula memberikan kesan kepada kadar pengangguran bermula Mac.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, kadar pengangguran adalah salah satu kes terburuk unjuran impak COVID-19 ke atas ekonomi.

Katanya, jika krisis kesihatan ini berterusan dan lebih banyak syarikat terkesan, maka ekonomi semakin merundum dengan dianggarkan sebanyak 2.4 juta akan kehilangan pekerjaan.

“Unjuran MIER ini juga selari dengan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tindakan kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi serta langkah Bank Negara Malaysia (BNM) melonggarkan dasar monetari adalah untuk menguruskan ekonomi negara supaya proses pemulihan lebih lancar.

Ia sekali gus, katanya, bakal merancakkan kegiatan ekonomi dan juga memangkin permintaan buruh yang tinggi.

“Jika perkara ini berlaku, kadar pengangguran boleh diturunkan. Buat masa terdekat ini, kadar pengangguran sememangnya dijangka bakal meningkat,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat ke paras 4.9 peratus tahun ini berbanding 3.3 peratus sebelumnya.

Katanya, berdasarkan angka itu, jumlah penganggur dijangka mencecah sekitar 778,000 orang berbanding 525,200 yang direkodkan ketika ini.

“Angka ini adalah berdasarkan anggaran data semasa, yang mana pertumbuhan guna tenaga adalah 1.5 peratus setahun.

“Meskipun demikian, sekiranya ekonomi kian pulih, kadar pengangguran akan menurun disebabkan permintaan buruh yang bakal meningkat.

“Jika kita melihat unjuran kadar pengangguran oleh IMF pada tahun depan adalah 3.4 peratus. Unjuran ini seiring dengan jangkaan lonjakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke paras 9.0 peratus pada 2021,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X