X
Selasa, 21 April 2020 | 6:48pm
Gambar hiasan: Pesawat milik Virgin Australia sedang berlepas. - Foto AFP
Gambar hiasan: Pesawat milik Virgin Australia sedang berlepas. - Foto AFP

COVID-19: Virgin Australia syarikat penerbangan pertama 'tumbang'

BRISBANE: Virgin Australia ‘tumbang’ tanpa bantuan menyelamat daripada kerajaan, menjadikannya syarikat penerbangan yang paling terkesan dengan tekanan pandemik COVID-19, yang menjejaskan industri penerbangan global.

Dalam pengumumannya kepada Australian Stock Exchange (ASX), Virgin berkata, ia bercadang untuk mengekalkan operasi pesawat meskipun menyerahkan ‘kunci’ kepada pentadbir.

"Keputusan kami ketika ini adalah untuk melindungi masa depan Virgin Australia Group dan dari satu bahagian lagi, keluar daripada COVID-19," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Scurrah dalam satu kenyataan.

“Australia memerlukan syarikat penerbangan kedua dan kami tekad untuk terus terbang,” katanya.

Syarikat penerbangan itu mempunyai hutang lebih A$5 bilion (RM13.9 bilion) dan memohon pinjaman A$1.4 bilion (RM3.89 bilion) untuk terus bertahan, tetapi kerajaan enggan menyelamatkan yang syarikat majoritinya sahamnya milik pelabur asing itu.

Pentadbir, Vaughan Strawbridge, dari firma perakaunan Deloitte, berkata lebih 10 pihak menyatakan ‘minat bersungguh’ untuk menjadi sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula.

“Terdapat minat yang luar biasa dalam perniagaan dan penstrukturan semula Virgin Australia,” katanya kepada wartawan di Sydney.

“Oleh itu, kami yakin bahawa ini akan menghasilkan penyusunan semula yang dicapai dalam jangka waktu yang singkat,” katanya.

Agensi penarafan Moody's berkata, kreditor tanpa jaminan harus mengambil ‘potongan kos yang ketara’ jika penyusunan semula itu berjaya.

“Namun, hasil sedemikian mungkin tetap lebih baik daripada meletakkan syarikat itu ke dalam kecairan dengan prospek pemulihan yang tidak menentu," katanya.

Syarikat penerbangan itu sudah menamatkan khidmat 8,000 daripada 10,000 kakitangan termasuk juruterbang, pembantu kabin dan kru lapangan.

Strawbridge berkata, pentadbir akan ‘berusaha untuk mengekalkan sebanyak mungkin pekerjaan itu’.

Virgin menangguhkan semua laluan antarabangsa dan membatalkan semua kecuali salah satu laluan domestiknya setelah Australia menutup sempadannya bagi membendung penularan COVID-19 dan mengenakan sekatan pergerakan.

Syarikat penerbangan itu baru-baru ini mula mengendalikan laluan domestik yang terhad, serta penerbangan untuk membawa pulang warga Australia dari luar negara, dengan sokongan kewangan kerajaan.

Virgin berdepan kesukaran sebelum COVID-19, mencatatkan kerugian sebelum cukai A$71.2 juta tahun lalu.

Richard Branson, pengasas hartawan Virgin Group, yang memiliki 10 peratus kepentingan syarikat penerbangan itu, dalam ciapan tweeternya memberi sokongan kepada pasukan Virgin Australia.

“Saya berbangga dengan kamu dan semua yang kita capai bersama,” katanya.

“Ini bukan pengakhiran Virgin Australia, tetapi saya percaya permulaan baharu. Saya berjanji kita akan bekerja siang dan malam untuk menjadikan ini realiti,” katanya. - AFP

Berita Harian X