Khamis, 23 April 2020 | 4:00pm
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Program e-CAP KWSP bantu PKS terjejas

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) bagi memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik global.

e-CAP memberi fleksibiliti kepada majikan yang layak, memilih untuk membuat permohonan penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan bagi bulan caruman April, Mei dan atau Jun 2020.

Bayaran untuk caruman tertangguh bagi bulan yang dipilih boleh dijelaskan dalam tempoh maksimum tiga bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata langkah ketat yang tidak dapat dielakkkan dan diambil oleh negara dalam membendung pandemik ini, memberikan impak kepada kelangsungan aktiviti ekonomi tempatan.

Beliau berkata, PKS mudah terdedah kepada kekangan aliran tunai dan kebanyakannya mungkin tidak dapat bertahan untuk beberapa bulan yang akan datang.

PKS, katanya adalah teras ekonomi Malaysia, menyumbang sebanyak RM522 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi jumlah pekerjaan terbanyak untuk pasaran buruh tempatan.

Malah, PKS juga kata Tunku Alizakri, mewakili 99 peratus daripada jumlah keseluruhan majikan yang berdaftar dengan KWSP dan menggaji seramai 7.6 juta pekerja.

"Justeru, kita tidak boleh membiarkan PKS gagal untuk beroperasi dengan baik kerana situasi ini akan memberi impak yang meluas ke seluruh negara, terutama kepada syarikat besar yang akan menghadapi gangguan dalam rantaian bekalan serta kepada individu yang mungkin akan kehilangan pekerjaan.

"Diharapkan kemudahan e-CAP akan dapat membantu PKS yang terkesan dapat menyalurkan kembali aliran tunai ke dalam perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan selama yang boleh.

"Sebagai usaha tambahan, KWSP juga akan menawarkan khidmat nasihat kepada semua majikan tempatan melalui Khidmat Nasihat Majikan," katanya dalam satu kenyataan.

Tunku Alizakri berkata, pegawai yang ditugaskan akan membincangkan dan menguruskan pelan yang sesuai berdasarkan keperluan anda bagi memenuhi tanggungjawab sebagai majikan.

Beliau berkata, majikan boleh memohon kemudahan eCAP melalui i-Akaun (Majikan) bermula 23 April dan perlu memastikan bahawa permohonan untuk bulan sebelumnya telah diluluskan sebelum membuat permohonan baharu.

Kemudahan e-CAP melengkapkan beberapa inisiatif lain yang dilancarkan oleh KWSP bagi membantu ahli, mengekalkan mata pencarian mereka serta memberi sokongan kepada perniagaan.

Ia merangkumi inisiatif pengurangan bayaran caruman syer pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus, pengeluaran simpanan dalam Akaun 2 iaitu Pengeluaran i-Lestari dan pelanjutan tempoh untuk majikan membayar caruman syer majikan bagi bulan April 2020 ke hujung bulan ini.

INFO

Kriteria permohonan e-CAP

* Menggaji 200 orang pekerja atau kurang

* Memastikan semua bayaran caruman (syer majikan dan pekerja) setakat caruman bulan Februari 2020 (gaji bulan Januari 2020) adalah teratur

* Memastikan majikan telah menyelesaikan bayaran caruman syer pekerja sepenuhnya untuk bulan yang dimohon (April, Mei dan Jun)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X