Isnin, 27 April 2020 | 9:21pm
Krisis COVID-19 membuka peluang kepada PKS memanfaatkan penggunaan teknologi - Foto BERNAMA
Krisis COVID-19 membuka peluang kepada PKS memanfaatkan penggunaan teknologi - Foto BERNAMA

PKS perlu kekal positif, peka dengan inisiatif kerajaan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa pengusaha perniagaan untuk bangkit daripada krisis COVID-19 dan kekal positif selain melihatnya sebagai peluang untuk menjadi lebih produktif dengan memanfaatkan teknologi.

"COVID 19 membawa perubahan yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam cara kita berniaga dan cara kita berkomunikasi. Perubahan yang sebenarnya harus berlaku, bukan hanya bercakap mengenainya sahaja," kata Timbalan Ketua Pengarah MPC, Ab Rahim Yusof dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sebanyak 76 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah perusahaan mikro yang menghadapi pelbagai kekangan kewangan, modal insan, kemampuan pengurusan dan pasaran.

Beliau menasihatkan perusahaan-perusahaan ini untuk menangani disiplin pengurusan kewangan mereka dan merancang simpanan tunai, mengkaji model perniagaan mereka dan mempercepatkan penggunan teknologi digital.

"PKS harus cepat melakukan perubahan dan menggunakan kaedah pembayaran dalam talian untuk urus niaga perniagaan dan aplikasi pendigitalan lain untuk memastikan kecekapan dan produktiviti yang lebih baik dalam proses perniagaan mereka," kata Ab Rahim.

Sementara itu, mereka harus secara proaktif mendapatkan sokongan agensi kerajaan dalam bentuk geran, bantuan dan mesin.

Beliau berkata, industri dan perniagaan harus peka terhadap inisiatif dan program kerajaan yang bertujuan untuk memastikan pemulihan ekonomi negara berlaku dengan cepat.

"Sebagai contoh, MPC juga telah menganjurkan pelbagai ceramah mengenai digital dengan memberikan pandangan untuk membantu syarikat dan industri mengatasi tekanan operasi yang dihasilkan di tengah-tengah COVID-19.

"MPC juga menawarkan program peningkatan proses kerja dan pengurangan pembaziran untuk PKS," katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga menganjurkan program 'Readiness Assessment for Industry 4.0' yang membolehkan PKS dinilai di bawah inisiatif terbabit untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Sekali lagi, program ini disediakan secara percuma. Permohonan masih dibuka melalui portal MITI, "katanya.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X