Jumaat, 1 Mei 2020 | 8:21pm
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Pengkomersialan teknologi minyak sawit Malaysia cecah RM3 bilion

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30.4 peratus teknologi minyak sawit Malaysia telah dikomersialkan setakat ini dengan nilai pasaran mencecah RM3 bilion.

Ini memberi manfaat kepada kemajuan industri sawit meliputi keseluruhan rantaian pengeluaran.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata di sektor huluan, kemajuan teknologi dan penemuan saintifik adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil sawit.

"Ini meliputi penggunaan tanaman bermanfaat dan semburan udara penggunaan kulat bagi kawalan serangga perosak ulat bungkus dan kumbang badak serta formulasi baja bio bagi mengawal penyakit pokok sawit.

"MPOB boleh berbangga dengan kejayaan inovasi teknologi apabila berjaya mencipta dan melancarkan 667 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit sejak 20 tahun lalu," kata Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 MPOB yang melakar pencapaian dalam penyelidikan, pembangunan teknologi dan inovasi dalam industri sawit.

Ditubuhkan pada 1 Mei, 2000, melalui penggabungan PORIM dan PORLA, MPOB telah mencapai banyak kejayaan sepanjang 20 tahun perjalanannya untuk menjadi satu organisasi yang berwibawa menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.

Pembangunan jentera perladangan dan penggunaannya dalam operasi ladang sawit meningkatkan kecekapan kerja-kerja penuaian buah sawit, pengutipan dan pengumpulan buah lerai, dan pengangkutan dalam ladang telah meningkatkan produktiviti pekerja dan kecekapan pengurusan ladang.

Sementara itu, kemajuan dalam penyelidikan biakbaka dan bioteknologi MPOB berjaya menghasilkan bahan tanaman sawit iaitu siri PS1 hingga PS13 melalui pengumpulan pelbagai baka sawit terbaik.

Bahan tanaman sawit siri PS mempunyai ciri-ciri unggul seperti pokok renek, hasil tinggi, tangkai panjang dan tinggi kandungan Vitamin E tokotrienol

Satu lagi pencapaian adalah program penyelidikan genom yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil tanaman sawit melalui pemilihan bahan tanaman berkualiti serta mengurangkan pencemaran bahan tanaman yang berkualiti rendah di peringkat awal semasa fasa percambahan anak benih dan di tapak semaian.

Teknik bioteknologi seperti kultur tisu, kaedah penyelidikan molekul serta teknologi moden yang merangkumi penjujukan gen, genomik dan kejuruteraan genetik berupaya meningkatkan pengeluaran minyak sawit secara teori sehingga 18 tan sehektar setahun.

MPOB mencatat pencapaian penting apabila menjadi organisasi pertama yang berjaya melaksanakan penjujukan gen sawit pada tahun 2005.

Penemuan penting ini adalah pemangkin kepada kajian jujukan genom sawit pada 2009.

"Ini membolehkan pengenalpastian gen yang mempengaruhi sifat agronomi penting pokok sawit. Adaptasi hasil penemuan ini kepada kit ujian diagnostik molekul akan membantu meningkatkan kecekapan bidang biak baka sawit," kata Dr Ahmad Parveez.

-BERNAMA

Berita Harian X