Selasa, 5 Mei 2020 | 5:28pm
Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank Negara Malaysia (BNM).

'Langkah diambil BNM tepat pada masanya'

KUALA LUMPUR: Penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.50 peratus kepada 2.00 peratus adalah tepat pada masanya dan sudah dijangka oleh pasaran, kata penganalisis ekonomi.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata penurunan akan memanfaatkan rakyat apabila kos pinjaman akan menjadi lebih murah dan keupayaan untuk meminjam juga akan meningkat.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

Beliau berkata, ini penting sebagai pelengkap kepada segala insentif yang diberikan kepada mereka, terutama kepada golongan B40 dan M40 dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pengurangan OPR ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi, supaya kemelesetan dan kadar pengangguran tidak seteruk yang dijangka.

"Apabila ekonomi bertumbuh, ini akan memberi faedah kepada rakyat dengan kewujudan peluang pekerjaan baharu, pekerjaan asal tidak dikurangkan, upah dapat meningkat dan pada masa yang sama upah sedia ada tidak dikurangkan," katanya kepada BH.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, pula berpandangan BNM menggunakan OPR sebagai salah satu alat kawalan dasar kewangan untuk mengawal kedudukan ekonomi negara.

Beliau berkata, secara prinsipnya, OPR akan dinaikkan ketika mana ekonomi bertumbuh dengan dengan baik bagi mengawal inflasi.

Katanya, dalam situasi ekonomi suram seperti yang berlaku ketika ini, OPR dapat memainkan peranan yang sangat besar, khususnya untuk ekonomi rakyat.

"Justeru, orang ramai akan cenderung untuk memegang tunai di tangan. Kedua-dua situasi ini dijangka akan membantu ekonomi melalui perbelanjaan isi rumah kerana apabila OPR berkurangan, tunai di tangan akan meningkat.

"Apabila tunai di tangan meningkat, ini akan meningkatkan perbelanjaan isi rumah. Jadi, langkah BNM menurunkan kadar OPR adalah sangat bertepatan di dalam keadaan ekonomi pada ketika ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata tindakan BNM menurunkan OPR dilihat sebagai langkah berterusan kerajaan untuk meningkatkan lagi kecairan di dalam pasaran kewangan domestik.

Beliau berkata, selain itu ia juga untuk memastikan beberapa indikator ekonomi seperti kadar inflasi dan kadar pengangguran tidak terlalu tinggi.

Kadar produktiviti serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga katanta kembali menunjukkan perkembangan yang positif.

"Kadar OPR yang rendah juga menyebabkan kadar faedah ke atas simpanan akan menjadi rendah.

"Oleh itu, ia akan menyebabkan pendeposit tidak mendapat pulangan yang setimpal apabila menyimpan dan akan mengeluarkan simpanan untuk melabur atau berbelanja.

"Tindakan ini mampu meningkatkan kecairan tunai di pasaran dan merancakkan kembali ekonomi domestik," katanya.

Berita Harian X