Rabu, 6 Mei 2020 | 1:56pm
Penumpang beratur mengikut penjarakan sosial ketika menaiki LRT ke tempat kerja di stesen LRT Central Market selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
Penumpang beratur mengikut penjarakan sosial ketika menaiki LRT ke tempat kerja di stesen LRT Central Market selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

70 peratus yakin usaha kerajaan, ekonomi kembali pulih

KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 peratus rakyat Malaysia yakin dengan usaha kerajaan dalam mengembalikan semula ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kaji selidik Isi Rumah Malaysia ketika PKP yang dilaksanakan Pusat Tadbir Urus dan Kajian Politik (Cent-GPS), rakyat Malaysia optimis bahawa ekonomi negara dapat digerakkan semula dengan keyakinan muncul pada PKP fasa 2.

"Sebelum berita mengenai kejatuhan harga minyak berlaku dan responden menjangkakan bahawa perniagaan akan kembali normal pada 14 April.

"Walaupun begitu, sekali lagi kita perlu tekankan (ketika PKP fasa 1 dan 2) bahawa rakyat Malaysia cukup positif hasil ekonomi di mana 57 peratus yakin bahawa ekonomi akan pulih sementara 30 peratus memilih untuk tunggu dan lihat," kata Cent-GPS.

Kaji selidik Isi Rumah Malaysia ketika PKP dilaksanakan membabitkan 733 responden dengan tempoh kajian dari 31 Mac hingga 14 April yang meliputi PKP fasa 1 dan 2.

Kaji selidik itu turut membabitkan klasifikasi responden merangkumi Gen X (38-56 tahun), Baby Boomer (57 tahun ke atas), Gen Z (18-23 tahun) dan Milennial (24-37 tahun).

Menurut pusat berkenaan, walaupun kebanyakan yakin dengan usaha pemerintah ketika kaji selidik dibuat, namun tidak semestinya ia menterjemahkan keyakinan secara keseluruhan.

"Ketika ditanya mengenai kerisauan mereka terhadap kesan COVID-19 terhadap ekonomi, 87 peratus responden menunjukkan mereka sama ada bimbang atau sangat bimbang," katanya.

Menurut kaji selidik itu lagi, persoalan timbul sama ada keyakinan itu akan berterusan pasca PKP belum diketahui.

"Kaji selidik ini seperti disebut sebelum ini adalah mengambil kira dua fasa PKP iaitu sebelum lanjutan dan sebelum berita mengenai kejatuhan mendadak harga minyak di mana Malaysia sangat bergantung kepada sektor minyak dan gas," katanya.

Menurut kaji selidik itu lagi, PKP sangat mempengaruhi ekonomi tempatan susulan penutupan sementara perniagaan, pejabat dan sekolah selain pergerakan juga dihadkan.

"Walaupun beberapa perniagaan dibenarkan beroperasi semasa PKP, namun hasil jualan dan pendapatan mereka merosot dengan ketara.

"Daripada responden kami, hampir 30 peratus mendapati kehilangan atau tidak meraih sebarang pendapatan ketika PKP," katanya.

Meskipun PKP dilaksanakan, perbelanjaan isi rumah didapati meningkat dengan 38 peratus responden mencatatkan peningkatan, manakala 35 peratus menyusut dan 27 peratus kekal seperti sebelum PKP.

"Daripada 38 responden yang merekodkan peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, sejumlah 45 peratus adalah Millennial.

"Keadaan ini berkemungkinan disebabkan ketersediaan perkhidmatan e-dagang dan penghantaran produk bukan makanan," katanya.

Berita Harian X